Tuesday, August 24, 2010

BERKATNYA RAMADHAN


1. “Wahai orang-orang yang beriman diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang (umat) sebelum kamu, mudah-mudahan kamu beroleh ketaqwaan” – Al-BAQARAH ( 183 )

2. Tentunya jiwa kita akan dibantu serta lebih mudah didorong memperbanyakkan kebaikan apabila kita berupaya memahami serta menghayati makna ketaqwaan sebenar. Barulah jelas apa yang dicitakan dari natijah akhir ibadah puasa . Ada KPI (Key Performance Indicator) yang boleh dinilai. Justeru mudahlah kita melakukan introspeksi diri. Kalau masih jauh dari matlamat yang disasarkan (goal setting), masih ada peluang lagi untuk kita memperbaikinya.Kita akan terus bermuhasabah sambil menyusun strategi sewajarnya demi meraih apa yang ditargetkan iaitu TAQWA.

3. Barangkali beberapa pendefinisian (pemaknaan) berikut tentang taqwa, dapat melonjakkan keinginan yang kuat serta mencetuskan momentum ketaatan di dalam diri sebagai tanda ubudiyyah (ketundukkan) kita kepada Allah:

a. Saidina Ali Karamallahuwajhah, merangkumkan erti taqwa dalam kombinasi 4 ciri utama seperti berikut:
i. Takutkan Allah
ii. Beramal dengan Al-Quran
iii. Redha dengan pemberian (nikmat) Allah walaupun sedikit
iv. Membuat persiapan (bekalan) untuk hari akhirat

b. Ubai bin Kaab pernah menjelaskan secara analoginya akan makna taqwa ketika ditanyakan Saidina Umar Al-Khattab,. Ubai bin Kaab mengungkapkannya secara mudah melalui pertanyaan balasnya, “Pernahkan anda melalui jalan yang berduri dan bagaimanakah keadaannya seseorang ketika melaluinya”. Lalu Saidina Umar menyatakan, “Tentulah kita akan lebih berhati-hati”. Lantas ujar Ubai bin Kaab, begitulah halnya tentang ciri orang yang bertaqwa. Mereka akan sentiasa bersikap lebih berhati-hati ketika mengharungi ujian serta ranjau kehidupan di dunia ini. Biar hidupnya selamat dari kemurkaan Allah. Dijagakan dirinya supaya tidak terjerumus di dalam perkara yang kesamaran (syubhah), apatah lagi perkara yang diharamkan Allah.

4. Kini kita telah pun mengharungi 15 hari berpuasa di bulan Ramadhan. Setiap kita tentunya dapat merasai rutin harian yang berbeza di bulan Ramadhan, berbanding hari-hari di bulan-bulan selainnya. Masakan tidak, ada sahaja amal-amal soleh yang dilakukan di siang atau malamnya. Senaraikan sahaja rutin kebajikan itu yang dilaksanakan di bulan Ramadhan ini:
- Bangun awal pagi
- Solat tahajud, taubat, hajat, witir/membaca Al-Quran/ berdoa
- Bersahur
- Solat fardhu di awal waktu & dikerjakan secara berjamaah
- Solat dhuha
- Bacaan al-mathurat secara berjamaah di tempat kerja
- Mulakan kerja di tempat kerja dengan penuh bermotivasi
- Tadarrus al-quran
- Bersedeqah
- Berbuka bersama keluarga/jamaah di masjid
- Program menghidupkan malam (solat terawih/bacaan al-Quran/menimba ilmu).
- Bermuamalah sesama manusia dengan penuh kasih sayang
- Makan secara sederhana dan mengamalkan cara pemakanan sunnah
- Banyak berdoa dan lain-lain lagi.

5. Jangankan orang lain, diri sendiri pun akan merasa hairan dengan kemampuan diri di bulan Ramadhan ini. Pastinya itulah sebahagian tanda keberkatan Ramadhan. Setiap diri terasa mudah dan terdorong melakukan ketaatan. Di mana-mana sahaja kita akan tersua dengan kreativiti yang pelbagai untuk mendorong manusia lain ke arah kebaikan. Ada drama untuk mendidik, ada banner untuk menasihat, ada suasana untuk mendorong, ada teman untuk berjamaah, dan ada banyak program lagi untuk membina. Pendek kata macam-macam ada di bulan Ramadhan ini. Namun apakah stamina kebaikan itu akan berlangsungan lagi di bulan-bulan yang lain?. Kenapa dan mengapa?........SELAMAT MEMBURU PAHALA DI BULAN RAMADHAN.

Thursday, July 29, 2010

ANTARA PRINSIP DAN TEKNIKAL


Salam perjuangan.

1. Semestinya perlu ada kejelasan fikrah (pemahaman )tentang apa yang dikatakan prinsip dan bukan prinsip. Tak dapat pula dibayangkan betapa ironisnya sekiranya kedapatan di kalangan pendokong dan pemimpin gerakan Islam, yang masih bercelaru dan keliru untuk memahami dan membezakan antara keduanya itu. Namun bukanlah sesuatu yang mustahil dan mengejutkan kalau masih terjelma para pemimpin yang sedemikian. Implikasinya mereka akan sering mudah ‘melatah’, lalu bertindak menggadai, meminggir, melanggar atau mengenepikan soal-soal yang dikirakan prinsip ini. Sebaliknya yang bukan prinsip pula diangkat, dijulang, diutamakan dan dipertahankan dengan pelbagai alasan bagi mewajarkan tindakan.


2. Elok rasanya kita jelaskan kepada mereka apa yang dianggap prinsip dalam gerakan Islam ini. Biar nampak bezanya antara pejuang Islam dengan pejuang kebatilan, biar jelas antara ketulenan pejuangan dengan kepalsuan pejuangan (munafik). Menurut kamus dewan, prinsip adalah asas atau dasar yang menjadi pokok sesuatu pemikiran, kajian dan tindakan. Kadangkala nya disebutkan dengan istilah woldview, sistem nilai, pandangan alam dan sebagainya. Sementara yang bukan prinsip,jika mahu dianalogikan pada sebatang pokok, boleh sahaja dikatakan rantingan, cabang atau dahannya.

3. Bagi ajaran Islam yang dikatakan prinsip itu adalah soal yang berkaitan dengan dasar-dasar hukum yang ditentukan oleh ajaran Islam, yang berkait dengan suruhan atau larangan secara jelas (iaitu bersandarkan nas atau dalil). Berbeza dengan soal yang bukan prinsip, di mana Islam mewujudkan ruang kepada penganutnya untuk membuat pilihan dalam batas yang dibenarkan, sementara pintu ijtihadnya pula sentiasa terbuka seluasnya sebagai tanda rahmat untuk umat Islam secara khasnya dan umat manusia secara amnya .

4. Apapun bagi PAS, prinsip perjuangannya dinyatakan secara jelas di dalam fasa 3 perlembagaannya iaitu Islam sebagai dasar perjuangannya. Oleh kerana Islam adalah agama Allah dan bukannya bikinan manusia , maka Ia tentunya memiliki serta mewarisi segala ciri kesempurnaan pada ajarannya. Atau dengan kata lain, apabila PAS menjadikan Islam sebagai dasar dan prinsip perjuangannya , sepatutnya upaya memberikan keadilan kepada rakyat, serta upaya melaksanakan amanah kepimpinan adalah lebih baik dan lebih menyakinkan berbanding mana-mana organisasi sekular atau parti asobiyyah qaummiyyah yang lain.

5. Namun persoalannya, mengapa masih wujud kelemahan dan kekurangan PAS di sana-sini?. Samakah PAS dengan UMNO?. Barangkali inilah persoalan utama yang telah diangkat oleh saudara Lokman Nor Adam (teman lama saya & exco pemuda UMNO Malaysia kini) ketika berWacana Perdana “Bolehkah Melayu Bersatu” di Kota Bahru, Kelantan tempohari. Malah nampak ‘kenakalan’ beliau, apabila cuba menggambarkan pula kepada umum bahawa Islam yang menjadi dasar PAS selama ini, sebenarnya adalah retorik dan hanya sekadar instumen (alat) kepada PAS bagi meraih sokongan pengundi semata-mata. Sebab itulah ujarnya wujud pelbagai kelemahan, baik di dalam oraganisasi PAS mahupun kerajaan pimpinan PAS (Kelantan & Kedah). Pada saudara Lokman, PAS seakan turut melakukan atau mengulangi kelemahan yang sama yang pernah dilakukan oleh UMNO sebelumnya. Justeru konklusi ucapannya dirumuskan secara yang sangat simplistik. Nah! terbuktilah bahawa PAS dan UMNO adalah sama. Tetap melakukan kelemahan. Tidak maksum. Satu konklusi yang turut mengelisahkan dan ‘memanaskan punggung’ saya di Indera Kayangan ini.

6. Maka saat sebeginilah dirasakan bahawa pemahaman tentang soal prinsip dan bukan prinsip (teknikal) amat penting. Perlu ada kebijakkan dalam menjiwai dan menilai antara keduanya. Sebagaimana pandangan balas DR MAZA (bekas mufti Perlis) ketika wacana berkenaan, bahawa sememannya wujud perbezaan yang jelas antara kelemahan yang disebabkan prinsip, berbanding kelemahan yang disebabkan oleh teknikal (pelaksanaan). Barang diingatkan bahawa kesempurnaan prinsip adalah bergantung kepada kesempurnaan pencetus ideologi yang diyakini itu. Sementara teknikalnya (pelaksanaannya) pula bergantung kepada kecekapan individu pelaksana yang terlibat.

7. Yakinlah kita bahawa selagi mana sesuatu organisasi itu meletakkan Islam sebagai dasar perjuangannya, pasti organisasi tersebut tidak akan lemah dari segi prinsipnya. Kerana Islam adalah agama Allah dan prinsipnya penuh dengan ciri-ciri kesempurnaan. Barangkali akan nampak kelemahan di sudut pelaksanaannya. Tapi lemahnya itu bukan kerana prinsip yang diamalkan, tapi lemahnya berpunca kelemahan individu pelaksananya sahaja. Begitulah bezanya PAS berbanding UMNO sejak dulu, kini dan selamanya……SEMOGA KITA SENTIASA MEMPERTAHANKAN PRINSIP KITA (ISLAM) DI MANA JUA KITA BERADA BAIK DI DALAM DIRI, KELUARGA, JAMAAH MAHUPUN MASYARAKAT YANG TERCINTA!!.....

Monday, July 26, 2010

KESEIMBANGAN YANG TERSIRNA

Salam perjuangan.


1. Entah mengapa kali ini diri sangat terdorong untuk mengungkapkan makna KESEIMBANGAN dalam ucapan pada himpunan pagi Isnin bersama pelajar hari ini. Mungkin impak penulisan Dr. Muhammad Ali Hasyimi di ruang muqaddimah bukunya yang berjudul “ Keperibadian Seorang Muslim Dari Al-Quran dan As-Sunnah” yang masih segar dan membekas pada kotak pemikiran dan jantung hati saya.

2. Antara perkara yang melatari tulisannya serta isu yang cuba diangkat dan diketengahkan beliau dalam lewat karangannya itu, adalah mengenai kebimbangan dan kekecewaannya menyaksikan semakin tersirnanya peribadi-peribadi muslim yang boleh dicontohi umat dewasa ini. Iaitu peribadi-peribadi yang berupaya menjelmakan penghayatan Islam yang baik dan seimbang dalam segala aspek hidupnya. Baik aqal, fizikal, roh dan emosinya. Segalanya itu akan diberikan fokus, hak dan penekanan yang sewajarnya. Apapun itulah yang sudah sukar diketemukan di zaman moden ini.

3. Kalau diizinkan kepada kita bertemu dengan individu yang sedemikian sifatnya, maka bersyukurlah kepada Allah kerana itupun sebahagian daripada kurniaan nikmatnya kepada kita. Nikmat yang membolehkan kita melihat dan bertemu dengan orang-orang soleh yang sebenarnya. Kerana muslim yang memiliki pakej keseimbangan bersifat kulli (menyeluruh) pada dirinya seperti kuat imannya, bijak aqalnya, bersih dan kemas penampilannya, sihat tubuh badannya, elok ibadahnya, mulia akhlaqnya, tinggi adabnya serta kental jiwa jihad dan pengorbanannya, sangat sukar untuk dijumpai lagi. Barangkali inilah pakej KESEIMBANGAN yang didambakan pada setiap muslim itu oleh Dr. Muhammad Ali Hashimi. Malah itulah sebenarnya makna pada sebuah KEJAYAAN pada diri setiap insan. Kejayaan mewujudkan keseimbangan segala elemen dalam dirinya. Oleh itu, semakin kita menghampiri kesempurnaan keseimbangan itu, semakin tinggilah tahap atau nilai kejayaan sebenar yang dicapainya.

4. Justeru saya amat terdorong untuk berusaha memahamkan anak-anak pelajar saya kali ini akan makna KESEIMBANGAN itu. Tetapi mesej besar itu tentunya perlu diadaptasi agar lebih mudah untuk difahami, sesuai dengan tahap mereka. Mesej mudah untuk mereka fahami dan ingat adalah ‘HIDUP KITA MESTILAH SEIMBANG’. Maknanya segala unsur pada diri manusia seperti aqal, jasad, roh dan emosi, semuanya mesti diberikan penekanan, hak dan ‘makanan’ sewajarnya. Jangan ada mana-mana bahagian yang dibiarkan atau dicacatkan tanpa makanannya. Makanan berbentuk ilmu pada aqalnya, makanan yang halal dan toyyib (baik) pada jasadnya, makanan berbentuk amal-amal soleh pada rohnya, makanan berbentuk redha, sabar, tenang, qanaah pada emosinya. Supaya jangan ada lagi dalam kehidupan ini nantinya, manusia yang bijak tetapi jahat. Jangan ada lagi yang ‘OK’ ibadahnya tapi ‘KO’ aqalnya. Jangan ada lagi yang nampak perkasa pada tubuhnya tapi terseksa pula jiwa dan imannya. Jangan ada lagi yang nampak beres hubungannya dengan Allah, tetapi kasar dan biadap sesama manusia.


5. Biarpun ada sebahagian pelajar nampak ternganga dan terkebil-kebil, sekurangnya-kurangnya aqal mereka diasak dan dicabar kali ini iaitu untuk BERFIKIR. Berfikir untuk kemuliaan diri dan Islam. Acapkali juga saya mengingatkan mereka serta rakan-rakan guru yang ada bahawa kalaupun tidak Islam dimuliakan kerana kita, janganlah pula Islam dihina kerana kita.

“Berikanlah kami akan bimbingan dan hidayahMu Ya Rabb!!..........AMIN.”

Wednesday, July 7, 2010

MENILAI KONTRAK HIDUP


Salam perjuangan.

1. Mutakhir ini saya sudah beberapa kali berkesempatan menontoni siri-siri Rancangan Halaqah Sentuhan Qalbu (TV9). Saya turut berpandangan bahawa ianya adalah antara contoh rancangan yang baik untuk ditontoni oleh semua lapisan masyarakat khususnya masyarakat Islam di Malaysia. Penampilan dan pengisian sebeginilah yang sebenarnya dinantikan , ditagihkan serta didambakan oleh pencari dan pencinta kebenaran selama ini. Jiwa seringkali rasa terkesan, terbangun dan tersedar setiap kali menontoninya. Terasa diri benar-benar dibantu untuk mampu memahami makna diri dan erti kontrak (keterikatan) pada sebuah kehidupan yang sebenar.

2. Ingatlah bahawa antara terma kontrak (keterikatan) ini adalah pertanggungjawaban kita sebagai khalifah Allah di mukabumi ini (iaitu menjadi duta untuk menyampaikan Islam kepada umat manusia, menegakkan hukum-hukum Allah dan mentadbir dunia dengannya). Justeru terlintas di fikiran saya, alangkah baiknya kalau kesedaran membangunkan modal insan sebegini, diusahakan secara berterusan serta menjadi ‘goal priority’ (target utama) bagi setiap pemimpin negara yang ada. Sebab itupun adalah sebahagian makna dan terma yang perlu dipenuhi pada kontrak kehidupan kita di dunia. Tentu sahaja akan bahagia rakyat jelata di bawah lembayung kekuasaannya, kerana segala aspek pembangunan insan sentiasa dijaga dan terarah. Baik fizikialnya, mentalnya dan rohaninya. Tenanglah nanti hidup rakyatnya , lantaran segala elemen dan keperluan yang bersangkutan pada insan tidak lagi akan terbiar dan dibiarkan. Malah jauh lebih mendasar apabila iman rakyatnya tidak lagi tandus kerana sentiasa disirami dengan siraman iman dan dibajai dengan bimbingan agama oleh pemimpin negara. Namun masihkah ada asa pada pemimpin negara yang ada pada hari ini?. Atau bermimpikah kita di siang hari?.

3. Barangkali inilah juga mesej besar buat pengamal media yang ada. Biar selepas ini akan meneguh keazaman kita untuk melihat segala kebaikkan serta kebahagiaan ditimba sebanyakkan melalui kita dan media kita. Jadikanlah diri kita dan media kita sebagai wadah islahulkhair (agen pembaikan) itu. Ingatlah sabdaan Rasullullah bahawa sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat pada manusia lainnya. Jangan pula sebaliknya. Kerana nantinya rakyat yang akhirnya merana dan sengsara. Tidak sekadar di dunia sahaja malah berpanjangan pula di akhirat.

4. Justeru inilah cabaran besar pada orang media sebenarnya. Sekiranya kita berjaya membimbing rakyat jelata menjadi baik melalui media, bermakna berjayalah saudara berperanan sebagai khalifah Allah di bidang saudara. Kalau saudara gagal memanfaatkan ruang yang ada, maka gagallah saudara untuk berperanan sebaiknya sebagai khalifahNya.Fahamlah kita bahawa rupanya masih banyak lagi terma dalam kontrak kehidupan antara kita dengan Allah, yang gagal difahami, dihayati malah dilanggari setiap masa. Maka bersegeralah kita berdampingan dengan majlis ilmu dan para alim ulama agar kontrak antara kita dengan Allah benar-benar difahami dan dipelihara. Akhirnya akan terpelihara jugalah kita dan ahli keluarga kita dari bakaran api neraka Allah. AMIN!!

Monday, June 28, 2010

OKU DALAM ORGANISASI


SALAM PERJUANGAN.

1. Ada banyak perkongsian menarik semasa mengikuti Bengkel Kejurulatihan Pilihanraya baru-baru ini. Antaranya pandangan tokoh ulama muda yang versatil penampilannya iaitu Ustaz Nasarudin Tantawi , yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat. Katanya antara kekangan yang merencatkan kelincinan gerak kerja PAS selama ini adalah masalah kurangnya tenaga yang mahu dan mampu memberikan masa, tenaga dan buah fikiran bagi mengerakkan parti.

2. Ini bukannya pendedahan bersifat rahsia pun. Semua orang tahu. Lagipun masalah ini adalah dianggap biasa bagi mana-mana organisasi. Namun tak ramai yang sanggup dan mahu memikirkan akan jalan keluarnya. Baik pemimpin apatah lagi ahli biasa/orang bawahan. Moga kita dipelihara Allah dari petaka sindrom kelesuan berfikir atau fenomena ‘pengangguran otak’ yang membahayakan ini.

3. Maknanya orang yang bersedia dan berupaya untuk bekerja serta menyumbang samada masa, tenaga, atau idea kepada PAS tak ramai. Yang ramainya adalah yang tak upaya atau kurang upaya (OKU). Ramai yang penonton dari menjadi pemainnya. Buktinya, jawapan ‘ana tak mampu ’, ‘ana tak upaya’, ‘ana tak bersedia ’. ‘ana tak mahu’ atau yang sewaktu dengannya, adalah ratib biasa yang sering kali diucapkan sebaik diminta untuk memikul sesuatu tugas yang diamanahkan. Mungkin sebahagiannya cuba bersifat tawaduk. Tapi sebahagiannya ada juga yang benar akuannya. Memang sungguh-sungguh atau betul-betul tak upaya atau kurang upaya. Ikhlas sekali para pejuang ini. Jujur mengakui realiti diri.

4. Apapun hanya OKU inilah yang ada dan bersedia menerima arahan.Walhasilnya impak tugas yang dilaksanakan hanya sekadarnya sahajalah. Mungkin acapkali jauh dari KPI yang disasarkan. Oleh itu kepada siapa mahu dipersalahkan?.......

5. Saya boleh bersetuju dengan pandangan sahabat saya yang juga bekas setiausaha perhubungan PAS negeri, dalam perbualan tempoh hari. Ujarnya bukannya payah sangat untuk hidupkan atau aktifkan cawangan PAS yang ada. Langkah duluannya, sediakan orang yang sanggup berikan MASA untuk kerja-kerja parti ini. Kalau tahap menyediakan ‘man power’ inipun terasa sukar. Jawapnya akan sukarlah jalannya untuk cawangan itu untuk aktif berperanan. Namun kalau ada ‘man powernya’, apa sahaja elemen yang wajib ada pada sebuah cawangan yang aktif, akan mudah sahaja dibentuk dan diwujudkan nanti. Tak kiralah samada idea, aktiviti, skil mengurus, jentera, strategi dan sebagainya.


6. Jadi isu primernya di sini, tak ramai yang bersedia memberikan MASAnya untuk perjuangan Islam ini. Apakah sibuk benarkah kita selama ini?, atau kita sengaja memilih untuk tidak mahu disibukkan?. Yakni memilih untuk hidup dalam ‘zon selesa’ iaitu diluar wilayah keletihan dalam memikirkan permasalahan umat. Apakah kita masih ingat bahawa sesaat masa yang dihabiskan untuk kerja-kerja Islam ini lebih tinggi nilaiannya di sisi Allah dari dunia dan segala isinya?. Bukankah Rasullullah juga pernah mengingatkan bahawa dunia ini adalah tempat kita berladang dan segala hasil tuaiannya akan kita nikmati di akhirat nanti?. Tidak gusarkah kita kerana nantinya kita akan ditanya tentang umur dan masa kita di dunia ini, bagaimana kita menguruskannya ?...... JUSTERU, AYOH!, BANGKITLAH WAHAI DIRI UNTUK BERBAKTI DAN MENGABDI DIRI KEPADA AGAMAMU (ISLAM). LEDAKKAN SEGALA KERAGUAN DI DALAM DIRIMU DEMI SEBUAH PERJUANGAN MENEGAKKAN ISLAM…….ALLAHUAKBAR!!!

Sunday, June 27, 2010

HIDUP LUAR BIASA


SALAM UKHUWWAH

1. Minggu lalu, ditemani beberapa orang teman, saya berkesempatan mengikuti Bengkel Hidup Luar biasa, bimbingan Dr Azizan Osman , yang diadakan di Alor Setar. Belum pernah saya mengikuti sebarang program di bawah kendalian beliau sebelum ini. Penampilannya beberapa minit dalam rancangan Nasi Lemak Kopi O, TV 9, sebelum ini, telah memberikan kesan pada diri serta mendorong minat saya bagi mengikuti program yang dianjurkan beliau kali ini. Pakar motivasilah katakan, tentu sahaja tutur bicaranya menyakinkan dan seni mempengaruhinya cukup hebat.

2. Mesej utama yang hendak disampaikan dalam bengkel itu adalah bermaudukkan HIDUP LUAR BIASA. Barangkali kali bagi seorang tokoh agama, bicaranya sudah dapat dijangka. Topik “Hidup Luarbiasa” itu akan dikupas dari aspek keunggulan aqidah, ketinggian ilmu, kehebatan berhujah, kemurniaan akhlaq Islam, kesungguhan berjihad, kehebatan beribadah dan selainnya. Qudwahnya pastinyalah adalah pada diri Rasullullah dan generasi sahabat baginda (generasi Al-Quran yang unik).

3. Fikir saya, apa pula sisi yang mahu disentuh oleh Dr Azizan Osman kali ini agar sentuhannya punya kelainan. Seperti yang dijangkakan perkongsiannya memang biasa-biasa sahaja. Banyak berkisar tentang niat dan doa, tentang kepentingan ilmu, tentang kemestian membina impian (goal setting), tentang keyakinan kepada pertolongan Allah, tentang pentingnya ada mentor yang berjaya (qudwah hasanah), tentang keperluan mempunyai sistem untuk berjaya (marketing and networking), dan memiliki kemahuan untuk segera bertindak (effective action). Katanya inilah modal besar untuk melakar kejayaan. Namun katanya lagi dari tips yang biasa-biasa inilah yang mengubah hidupnya menjadi luar biasa (ilmu dan kekayaannya) pada hari ini. (Doa saya semoga hidup beliau luar biasa juga kemuliannya di sisi Allah. )

4. Jelaslah , rupanya yang akan menjadikan hidup kita luar biasa kejayaannya adalah usaha dan tindakan kita untuk berjaya. Benarlah bak kata bijak pandai, kejayaan yang luar biasa itu dicipta oleh orang biasa yang berusaha secara luar biasa (work hard and work smart).

5. Bagi saya walaupun majoriti yang hadir dalam bengkel itu, akan menggunakan tips dari Dr Azizan Osman itu untuk menjana kekayaan harta, berjaya dalam perniagaan yang diceburi, atau keluar dari lingkaran hutang yang melemaskan, namun kalau tips yang sama diaplikasikan dalam gerakerja dakwah dan politik Islam, malah apa jua bidang sekalipun, kejayaan hebat dan luarbiasa akan juga tercipta. Justeru tepuk dada tanyalah iman. Hidup luar biasa yang bagaimanakah yang diinginkan?..........

Wednesday, June 2, 2010

APUNGAN DARI MISI FLOTILA PALESTINA


SALAM JIHAD.

1. Hanya jiwa sekejam Yahudi zionis sahaja yang boleh mengiyakan dan membenarkan tindakan komando tentera laut Israel ke atas delegasi misi flotila Palestine baru-baru ini.Khabarnya, tentera Israel dengan sengaja telah membuat membuat provokosi awal serta mencetuskan suasana panik, dengan melepaskan tembakan ke arah aktivis flotila Palestine yang berada di dalam kapal Mavi Marvara. Tindakan provokasi itu akhirnya telah mencetuskan reaksi spontan dari para aktiviis bagi mempertahankan diri masing-masing. Ini termasuklah tindakan mereka memukul tentera Israel dengan kayu dan belantan. Namun itulah yang dinantikan oleh tentera Israel bagi ‘menghalalkan’ hamburan peluru hidup berikutnya. Akibatnya sekurang-kurangnya 19 orang aktivis terbunuh/syahid, manakala lebih 60 orang mengalami kecederaan parah.


2. Majoriti umat dan negara di seluruh dunia terkejut dan marah dengan tindakan ganas tentera Israel itu. Demonstrasi menzahirkan api kemarahan berlaku di mana-mana. Terutamanya di negara-negara umat Islam. Nampak jelas kemarahan rakyatnya. Namun pemimpin negaranya?. Tak jelas dan ketara amarahnya. Masih mahu berlembut, dan berlapik dalam kata-kata. Ketara sangat kegerunan dalam diri pemimpin boneka ini. Kemuliaan apakah sebenarnya yang mereka cari?. Ketika Islam dan umatnya diinjak sebegini pun, masih bertagak untuk bingkas membela?. Justeru hairankah kita kalau isyarat kemarahan umat Islam hatta dunia itu gagal membekas kepada negara haram Israel itu.


3. Namun doa kita, semoga tindakan menzahirkan amarah dari negara dan masyarakat seluruh dunia atas isu ini, akan menjadi batu loncatan buat solidariti umat dunia seterusnya.Apatah lagi isu Palestine adalah isu yang merentas sempadan agama, negara dan bangsa. Biar mereka bingkas mempertahankan keadilan, hak dan keamanan di mana-mana inci dunia. Biar mereka ada keberanian dan kesediaan untuk memberikan ‘didikan’ kepada negara haram Israel, yang kejam dan ganas itu. Kerana tidak mustahil nantinya, negara lain juga akan seperti Palestin. Justeru negara haram Israel itu wajar menerima siri-siri tindakan atau hukuman yang membekas daripada negara dan masyarakat dunia. Biar negara haram itu pula merasai betapa peritnya mengalami pemboikotan produk, penamatan hubungan diplomatic, tindakan ketenteraan, sekatan ekonomi dan sebagainya. Tapi bilakah itu terjadi?, kalau masih banyak negara yang masih menikus dan tidak punya keberanian. Sekurang-kurangnya milikilah keberanian seperti Turki. Berani membuka jalan untuk menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestine.


4. Misi bantuan kemanusiaan flotilla palestina, telah mengapungkan beberapa perkara untuk dilihat. Lihatlah akan kebiadapan Israel melakukan apa saja walaupun melanggar undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia. Lihatlah pula betapa menikusnya pemimpin-peminpin dunia untuk bersuara bagi mengutuk tindakan ganas Israel itu. Lihatlah dimanakah pembelaan sewajarnya daripada pemimpin-peminpin negara umat Islam. Lihatlah akan kesungguhan Israel untuk mendera dan menzalimi rakyat Palestine, hinggakan bantuan berbentuk, makanan, ubat-ubatan dan bahan binaan disekat dan dihalang. Lihatlah betapa lemahnya kesatuan negara dan umat Islam berbanding kesatuan kuffar….lihatlah dengan penuh keinsafan dan keimanan untuk kita mengorak langkah perjuangan seterusnya……

Monday, May 24, 2010

ISU JUDI BOLA: BERJERUBUKAH FIKRAH KITA?


SALAM JIHAD

1. Akhbar Sinar Harian pada tiga hari yang lalu telah menyiarkan reaksi terbaru Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yasin, berkaitan isu lesen judi bola yang diluluskan oleh pihak kerajaan. Kata beliau, kerajaan sedang mempertimbangkan isu berkenaan (untuk meneruskan ataupun tidak pemberian lesen judi bola) dan sedang melihat reaksi rakyat (samada majoriti rakyat bersetuju atau membantah) terhadap keputusan dan tindakan kerajaan itu.

2. Pada hemat saya, situasi kini bukan sahaja memberi peluang kepada kerajaan untuk menilai ‘mood’ dan reaksi rakyat, malah rakyat juga turut berpeluang untuk menilai tahap kecelikkan agama, tahap kefahaman Islam serta tahap kemahuan politik (political will) setiap pimpinan negara ketika ini.Celikkah mereka dengan ajaran dan tuntutan Islam?. Fahamkah mereka akan kewajiban yang mesti ditunaikan sebagai pemimpin sesebuah negara?. Adakah wujud keinginan dan kesungguhan politik dalam diri mereka bagi mendaulatkan Islam di dalam negara Malaysia yang tercinta ini?.

3. Sepatutnya dalam isu judi ini, pemimpin negara lebih mudahlah untuk memahami akan keperluannya, mahu di’halalkan’judi ataupun tidak.Sewajarnya mereka lebih arif, akan penolakkannya di sisi agama dan rakyat jelata. Kalau sekadar bersandarkan 2 hujah ini pun sudah cukup memadai untuk membantu:

Pertama: Judi adalah perkara yang diharamkan secara qat’ie (jelas) di dalam Islam.

Kedua: Tidak ada suatu agama dan bangsa pun di dunia ini yang mengiktiraf judi sebagai amalan dan budaya yang baik dan bermanfaat kepada manusia.


4. Baik apapun agama dan bangsanya, semuanya tidak boleh menerima budaya judi ini. Tidak mahu dan tidak rela dikaitkan budaya dan agama mereka, dengan budaya buruk ini. Budaya yang kemudiannya meneteskan pula rangkaian budaya-budaya negatif yang lain. Budaya samseng (menekan, menipu, memeras ugut,membunuh), budaya mencuri, budaya suka meminjam, sikap malas bekerja, sikap bergantung nasib tanpa berusaha dan sebagainya. Apabila budaya-budaya negatif berakar umbi pastinya akan rosaklah pula sistem nilai dalam kehidupan bermasyarakat. Aqal manusia pun turut di ‘mandom’kan dek judi ini. Budaya berfikir umat akan bertambah gersang kerana judi menyediakan ‘jalan pintas untuk berjaya’. Tak perlu lagi memerah otak dan berusaha keras untuk berjaya.

5. Kriteria seorang pemimpin yang baik, sepatutnya lebih lekas faham dan cepat bertindak untuk menyelematkan rakyatnya daripada terjurumus dalam sebarang kerosakan dan kehancuran. Sentiasa merancang dan bekerja untuk selamatkan rakyat bukannya menghancurkan rakyat. Barulah ada izzah dan karisme dalam pimpinannya. Agama pula dijadikan rujukan serta neraca pertimbangan utama untuk menilai sesuatu perkara, Justeru, seseorang peminpin mestilah celik aqalnya agar tahu antara baik atau buruk, halal atau haram, ma’ruf atau mungkar, untung atau rugi, boros atau jimat, utama atau rantingan , dahulu atau kemudian, baik atau jahat, dan sebagainya. Barulah terserlah upaya dan daya kepimpinannya.


6. Dalam isu lesen judi bola ini, sepatutnya seorang pemimpin tidak perlu melihat reaksi rakyat terlebih dahulu. Yang perlu ditunggu bukannya reaksi rakyat tetapi reaksi agama (Islam) pada aspek hukumnya. Yang diharamkan agama, difatwakan haram. Yang dihalalkan agama, dikatakan halal. Bukan sebaliknya. Kalau beginilah kejerubuan fikrah yang ada pada hari ini, tak bimbangkah kita pada nasib anak cucu yang mendatang….SELAMATKAH AQIDAH, AKHLAQ DAN FIKRAH MEREKA??.

7. Jumpa nanti di demontrasi anti judi bola di Masjid Putra, Kangar nanti(28 Mei 2010). Biar kali ini isyarat dan kemahuan rakyat difahami oleh pemimpin negara yang ada. Nyatakan sokongan saudara, katakan tidak pada JUDI!!

Thursday, May 20, 2010

MENJIWAI KEKUATAN YANG TERPINGGIR


SALAM JIHAD
1. Muktamar Dewan Ulama PAS Negeri Perlis kali ke 33 baru sahaja selesai seminggu yang lalu (15 Mei 2010). Antara rumusan pokoknya, ramai yang meletakkan harapan kepada ulama (khususnya ulama-ulama dalam PAS) bagi memimpin ummah ini. Biar selamat hidup kita di dunia dan akhirat. Justeru, di atas pundak para ulamalah akan tergalasnya satu amanah yang sangat besar. Amanah meneruskan perjuangan para nabi dan para rasul. Amanah membimbing ummah ke jalan kebenaran. Amanah memastikan kelangsungan kepimpinan ulama di masa hadapan. Amanah membina fikrah ulama (fikrah syarie) kepada setiap anggota masyarakat. Amanah mendaulatkan sebuah daulah Islamiyyah dan sederetan amanah-amanah yang lainnya lagi ….Nyata sekali, kesemuanya itu mengundang rasa gerun dan bimbang yang berlapis di hati setiap ulama mukhlisin pada hari ini. Takut tak terpikul akan amanah itu. Takut tak tergalas akan beban tugas yang besar dan mencabar itu. Malah lebih jauh mengusarkan, takut tak terjawab akan pertanggungjawaban itu di Yaumul Mahsyar nanti…………UNSURNA YA ALLAH!!!



2. Apapun muktamar kali ini ada juga keunikkannya. Antara uniknya itu, muktamar kali ini telah dirasmikan oleh AJK Dewan Ulama PAS Pusat merangkap Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Pahang, iaitu Ustaz Mokhtar Senik. Beliau adalah antara pimpinan PAS yang saya kagumi satu ketika dulu. (sekarang pun masih begitu, masih segah kagumnya). Banyak juga buku dan bahan penulisannya yang saya jengah dan susuri. Gayanya berceramah pun saya minati. Ceramahnya jelas, bersahaja dan mudah difahami. Hujahnya kemas dan bernas. Terjalin cantik antara mantik dan dalil syarienya. Serak lemak suaranya pula, sudah cukup untuk meruntun setiap audien memberi fokus kepada ucapannya hingga ke akhir. Cuma kali ini penampilannya nampak punya kelainannya. Tubuhnya yang agak ‘montel’ dulunya , kini kelihatan agak menyusut. Tapi saya cukup yakin semangatnya sentiasa membara seperti dulu. Atau mungkin telah pun menyala sejak dulu, kini dan selamanya. Almaklumlah Ustaz Mokhtar Senik agak lama juga ‘berpesantren’ serta di’ tarbiyyah’ di Kem Tahanan ISA, Kemunting beberapa tahun yang lalu (lebih kurang 3 ½ tahun lamanya).


3. Ucapan Ustaz Mokhtar Senik kali ini juga membekas pada hati dan fikiran saya. Ucapannya mengingatkan para muktamirin, tentang sendi-sendi kekuatan tradisi yang dimiliki oleh PAS selama ini. Kekuatan yang sepatutnya dan semestinya dimiliki oleh para ahli dan pimpinannya. Ironisnya, sendi-sendi kekuatan itu pula yang sering dilupakan. Jarang sangat yang mahu memperkatakannya. Apatah lagi hendak dijadikan mauduk aula (fokus utama) perbincangan oleh kebanyakkan para amilin PAS mutakhir ini. Seperti ada rasa malu-malu, kelu lidah dan tiada energi untuk menyebutnya. Mungkin takut terkena pada batang tubuh sendiri.

4. Namun inilah aspek kekuatan yang menjadi asset sebenar kepada PAS sebagai sebuah gerakan Islam sandaran umat. Malahan secara hakikatnya, sampai bila-bila pun musuh tidak akan mampu memilikinya dan tiada upaya menandingi kita dalam aspek-aspek itu. Inilah kekuatan-kekuatan itu:

-Kekuatan hujah (ilmu yang bersandarkan dalil yang benar)
- kekuatan akhlaq
- Kekuatan kerohanian (aqidah dan ibadah)
- Kekuatan Ukhuwwah
- Kekuatan Jihad dan pengorbanan

5. Lantas usaha mengilap secara serius kesemua kekuatan-kekuatan itu akan kita lakukan. Inilah tekad dan asa kita. Biar kita berbeza dengan musuh. Biar akhirnya yang dikejar akan dapat (kuasa politik) dan yang dikendung tak berciciran (kekuatan peribadi sebenar).
SELAMAT BERJUANG……….SIIRU ‘ALA BARAKATILLAH.

Wednesday, May 19, 2010

TERSERLAHNYA KASIH SAYANG

SALAM UKHHUWWAH


1. Dalam perjalanan menghantar kereta ke bengkel pagi ini, di tepi jalanraya ternampak kelibat 2 ekor burung gembala kerbau yang sedang mematuk-matuk dan menguis-guis tubuh rakannya yang seekor lagi. Namun kondisi rakannya yang dipatuk itu berbeza kali ini. Tubuhnya kini sedang terbaring di tepi jalanraya. Malahan patukan dan kuisan 2 lagi rakan-rakannya itu pun juga tampak berbeza. Tidak seghairah dan sekasar seperti kebiasaan. Seolahnya saya yang dapat merasai seperti ada naluri dalaman yang mengiringi kuisannya. Mungkin itulah yang dikatakan naluri kasih sayang anugerah Allah pada seekor burung. Subhanallah…..

2. Langsung saya tergerak untuk memperlahankan kereta. Terasa untuk mahu menyusuri selanjutnya perasaan halus yang dianugerahkan Allah pada burung ini. Perasaan saya memang tersentuh apabila menyaksikan perlakuan 2 rakan burung yang masih hidup itu. Seperti sukar untuk mereka menerima bahawa rakan mereka telahpun mati. Bukankah baru sebentar tadi mereka terbang, bermain dan mencari makan bersama?. Tapi kini mereka terpaksa berpisah…....YA RABBI!, Rupanya masih ada nilai kasih sayang pada haiwan sekerdil burung ini. Lantas manusia penghuni bumi ini, bagaimana halnya?. Masihkah memiliki kekayaan jiwa seperti burung ini?. Masih punyakah perasaan kasih sayang seperti itu?.

3. Kalau masih ada kasih sayang itu pada diri manusia, sewajarnya sifatnya lebih merata. Bukan sahaja kasih sayang itu perlu dijelmakan sesama manusia, malah ianya perlu dikongsi sesama makhluk yang lain, tumbuhan dan juga haiwan. Malahan yang lebih prioritasnya adalah kasih sayang kita kepada ALLAH (Tuhan sekalian alam). Justeru Allahlah yang mengurniakan kita pelbagai nikmat dan kelebihan.


4. Barangkali anda akan bersetuju, kalau dikatakan walaupun naluri kasih sayang ini nampaknya ‘simple’ namun impaknya cukup besar dalam kehidupan manusia. Tanpanya akan miskinlah jiwa kita. Akhirnya kemiskinan jiwa yang makin meraja itu memungkinkan manusia bertelagah, berhasad dengki, hilang rasa hormat menghormati, dendam kesumat, kurang meraikan, bersikap kasar, susah bertolak ansur, kurang membantu dan sebagainya.

5. Mungkinkah apabila menyerlah dan terserlah kasih sayang dalam kehidupan, tidak akan ada lagi berita-berita yang mengelisahkan dan mengoncang jiwa keimanan kita di dada akhbar?. Baik berita pembunuhan, rompakan, peras ugut, ditahan tanpa bicara, didera, dibogel ketika tahanan, dirampas dan dinafikan hak, khianat, pecah amanah rakyat atau lainnya. Sebabnya kini manusianya lebih disayangi, dihormati, dan dimuliakan selayaknya. Pastinya hidup akan lebih aman kerana penghayatan terhadap elemen kasih-sayang ini sudah terbina dengan sempurna. BERKASIH SAYANGLAH KITA KERANA ALLAH!!