Thursday, April 29, 2010

ISTERIKU BERCERITA LAGI........

SALAM PERJUANGAN.

1. Kelmarin, sebaik pulang dari kerja, jam 3 petang, seperti biasa saya terus berkhidmat diri, sebelum berehat. Lazimnya masa santai dan istirehat begini, saya memilih untuk ditemani oleh bahan-bahan bacaan ringan dan santai sifatnya. Mungkin aura sambutan Hari Buku Sedunia (23 April) dan Perlis’s Books Fair 2010 (24 April) yang lalu, masih terasa ‘fresh’ buat diri. Justeru azamnya selepas ini, biarlah masa dimanfaatkan sebaiknya untuk membaca dan terus membaca.



2. Uniknya petang ini, tak semena-mena isteri pun berminat untuk berkongsi cerita. Jarang sekali mahu dikongsi cerita petang-petang sebegini. Biasanya isteri akan sibuk melayan kerenah anak-anaknya yang seramai 6 orang tu. Tapi katanya ada cerita menarik dan sangat relevan untuk dikongsikan. Cerita yang ada kaitan dengan saya dan para suami yang lain. Tentu ‘signal’ awal isteri ini , membuatkan saya teruja untuk menyusuri dengan penuh minat akan ceritanya….

3. Kisahnya kali ini tentang kura-kura dan tupai. Kedua-duanya hidup bersahabat di dalam hutan. Persahabatan kedua-duanya terjalin apabila si tupai sering membantu mengugurkan buah-buahan dari pokok-pokok berhampiran sungai untuk dimakan oleh si kura-kura. Sejak itulah kura-kura dan tupai merasai nikmatnya persahabataan (ukhuwwah) yang terjalin. Hampir selalu mereka bersama dan di mana sahaja. Ketika makan, bermain, berbual, berbincang, bergurau senda atau apa saja aktiviti, mereka tak pernah lekang, ibarat isi dengan kuku.

4. Malangnya persahabatan itu dicemburui oleh isteri kura-kura. Dicemburui kerana banyak masa yang sanggup dihabiskan oleh kura-kura buat sahabat barunya si tupai, berbanding anak dan isterinya. Hinggakan kini, anak-anak dan isteri kura-kura merasai diri mereka makin dilupai, dipinggirkan, dan kurang disayangi. Sudah mula menghakis sikap memahami dan bertoleransi si isteri kura-kura kepada suaminya. Bertambah tragis kerana kura-kura kini dianggap telah melupai tanggungjawabnya yang utama, iaitu tanggungjawab menyantuni anak-anak dan isterinya.

5. Maka bermulalah ‘seni dan pencak politik’ dalam rumahtangga kura-kura. Isterinya mula mengatur strategi. Misinya hanya satu iaitu untuk menawan perhatian suaminya semula.

6. Drama awalnya, si isteri kura-kura berpura-pura jatuh sakit. Keadaan ini sangat membimbangkan kura-kura. Dalam masa ‘sakit’nya itu, si isteri menyatakan pelbagai permintaannya kepada kura-kura. Dari yang biasa hinggalah yang pelik-pelik. Ternyata kura-kura mulai tertekan dengan permintaan isterinya itu. Malah yang menyukarkan kura-kura adalah permintaan isterinya untuk memakan hati tupai. Mengidam ujarnya..


7. Kura-kura menjadi tenggelam punca dengan permintaan isterinya yang tersayang. Sukar sekali mahu mendapatkan hati tupai melainkan dikorbankan sahabatnya selama ini. Dirinya benar-benar dalam dilemma sekarang. Antara 2 hajat. Iisterinyakah atau sahabatnya?. Akhirnya kura-kura nekad untuk memperdaya dan mengorbankan sahabatnya, situpai. Itulah pilihannya yang muktamad.

8. Maka hari yang ditunggu pun tiba, si kura-kura pun menghampiri si tupai dan segera menawarkannya untuk membawa si tupai melancong dan bersiar-siar di sepanjang sungai. Jelas si kura-kura inilah masanya untuk membalas kebaikan si tupai selama ini. Tanpa berfikir panjang dan sebarang prejudis, si tupai pun bersetuju untuk mengikuti kura-kura bersiar-siar di sepanjang sungai. Ketika bersiar-siar itulah, si kura-kura pun menceritakan hal yang sebenarnya kepada si tupai,. Akan masalah isterinya yang mengidamkan hati tupai.

9. Si Tupai lekas membaca maksud yang tersirat. Lantas cepat-cepat si tupai melakonkan kesedihan, tanda bersimpati dengan nasib isteri si kura-kura. Jelas si tupai lagi kepada kura-kura, bahawa dia merasa amat sedih pada hari ini kerana terlupa untuk membawa hatinya bersama-sama. Kalau tidak, bolehlah disedeqahkan kepada isteri kura-kura. Justeru dia memohon kerjasama kura-kura untk menghantarnya pulang ke tebing bagi mengambil hati yang tertinggal itu. Lakonnya menjadi. Kura-kura mempercayai kata-kata si tupai dan bersetuju dengan permintaan itu. Akhirnya selamatlah si tupai kerana kebijakkannya membaca minda si kura-kura. Maka sejak daripada itu, hilanglah kepercayaan dari sebuah persahabatan antara tupai dan kura-kura….TAMAT.

10. Isteri kemudiannya mula membuat beberapa ibrah buat suaminya. Katanya “Antara pengajarannya abang….”

i. Dalam kesibukkan kita bekerja dan berjuang, janganlah diabaikan tanggungjawab kepada anak-anak dan isteri.
ii. Jiwa isteri (perempuan) sangat sensitif dan perlukan kepada perhatian suaminya.
iii. Wujudkan suasana kegembiraan dan keceriaan dalam rumahtangga sebagaimana kita merasa senang, gembira, dan ceria di samping teman-teman.
iv. Berhati-hati dengan seni mempengaruhi wanita, kerana seninya boleh menggangkat dan menjatuhkan seseorang.

“Ya Allah, berilah bimbingan dan kekuatan kepadaku untuk menunaikan amanahMu…!!

Monday, April 26, 2010

MEETING...OH...MEETING


SALAM PERJUANGAN.

1. Program sepanjang minggu ini memang padat. Malah ada hari yang kena hadir sampai empat kali mesyuarat. Pagi dua mesyuarat, petang satu dan malam pula ada lagi satu mesyuarat. Lazimnya pula setiap mesyuarat akan berlangsung dua ke tiga jam. Teringat kata-kata dari seorang teman lama dalam perjuangan PAS ni, “mesyuarat punya mesyuarat, akhirnya rambut tinggal seurat, meeting punya meeting, habis biskut dalam tin”. Kalau musim mesyuarat agong kawasan seperti sekarang ni, tentunya masa yang lebih lama terpaksa dihabiskan. Ada kawasan mesyuaratnya setakat petang, ada pula yang bersambung hingga kelarut malam, baru selesai agendanya. Tentulah meletihkan dan memeningkan….

2. Tapi bagi teman-teman pejuang yang bersikap aktif dan proaktif semasa mesyuarat, walaupun agak letih bermesyuarat, namun dirinya tetap merasa bersemangat, puas, teruja dan terubat. Lantaran fahamnya cukup jelas, iaitu:

i. Bermesyuarat adalah tuntutan agama dan sunnah yang perlu diamalkan.
ii. Mesyuarat adalah antara bentuk kerja yang wajar disempurnakan.
iii. Mesyuarat adalah nadi kejayaan utama kepada setiap aktiviti.
iv. Tanpa mesyuarat sukarlah dijalankan aktiviti, sebaliknya tanpa akiviti/tindakan tidaklah bermakna mesyuarat sama sekali.


3. Dirinya akan merasa puas kerana sebahagian amanah dan tanggungjawab yang diberikan dapat dilunaskan. Kadang-kadang puas bercampur teruja apabila berpeluang mengemukakan pandangan dalam apa saJa isu atau permasalahan. Bukannya hebat sangat pun tapi setidak-tidaknya disinilah medannya (training centre) bagi membiasakan kita berfikir secara bernas, berhikmah, tenang dan matang. Berlatih untuk berfikir secara kritis, kreatif dan di ‘luar kotak’ kebiasaan. Terubatlah sebahagian keletihan kerana memahami betapa banyak ‘formula’ mahupun ilmu, diperolehi dan dikongsi.

4. Mesyuarat juga adalah antara platform mengasah bakat kepimpinan seseorang, agar tinggi mantiknya, tenang perwatakannya, punya kebijakkan dalam tutur bicaranya, berpandangan jauh, berseni dalam menguruskan kepelbagaian pandangan serta berhikmah di dalam menentukan keputusan. Inilah antara ‘skill’ yang perlu ada pada seorang pemimpin yang hebat.

5. Nama-nama besar dan hebat di dalam PAS seperti Prof. Zulkifli Muhamad, Ustaz Abu Bakar Hamzah, Ustaz Fadhil Mohd Noor, Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Dato Dr. Harun Din, Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Ustaz Hashim Jasin (Perlis) dan ramai lagi, memang diakui memiliki khazanah kehebatan ini dan perlu dicontohi.


6. Oleh itu, bermesyuaratlah walaupun sekejap cuma, kerana dengannya kita perolehi seni menguruskan banyak perkara. Baik sikap, pandangan, emosi, komunikasi, seni memilih dan sebagainya. Kerana setiap kali kita berjaya menguruskan mesyuarat, juga bermakna kita turut berjaya menguruskan manusia… betapa luasnya ilmuMu Ya Allah!….ALLAHUAKBAR!!

Sunday, April 25, 2010

MENGUSAHAKAN KEMULIAAN


Salam Ukhuwwah.

1. Banyak sebab manusia dipandang mulia di sisi manusia. Mulia disebabkan ilmu, harta, jiwa, pangkat, keturunan, dan lain-lain. Tapi seseorang itu hanya memperoleh kemuliaan di sisi Allah, apabila dirinya benar-benar bertaqwa kepada Allah. Itu sahaja jalannya. Adapun faktor kemulian yang lain, seperti ilmu, harta,pangkat, dan keturunan akan hanya bermakna buat pemiliknya jika asas taqwa tadi sudah terbina. Itulah syarat kemuliaan yang terbuka kepada semua jenis manusia, kaya-miskin, tua-muda , tuan-hamba, alim-jahil, rakyat -pemimpin, semuanya turut berpeluang. Kalau mahu seribu jalan, enggan seribu dalih. Tepuk dada tanyalah iman…..

2. As-syahid Abdullah Azzam, meletakkan moto hidup dirinya serta pengikutnya yang sangat menarik untuk dihayati. Motto yang ringkas “HIDUP BIAR MULIA, MATI BIAR SYAHID”. Memberi isyarat yang jelas bahawa maudu’ kemuliaan ini adalah agenda hidup yang sangat penting dan mesti diutamakan dalam kehidupan kita khususnya para pejuang Islam. Supaya segala tindakan yang lahir adalah bertitik tolak dari pertimbangan kemuliaan ini. Mahu dilihat mulia pada pandangan manusia atau mulia di sisi Allah?....

3. Baginda Rasul s.a.w pula sentiasa mendidik umatnya untuk menjadi mulia. Antara anjurannya adalah supaya umat berusaha bangun beribadah kepada Allah dengan ikhlas di malam hari (qiamullail), dan tidak bergantung hidup kepada orang lain. Kerana itulah jalan yang mampu ‘menurapkan’ kehebatan hubungan kita dengan Allah, membina kehebatan dalam bermuamalah sesama manusia, serta turut hebat di dalam menguruskan kehidupan.Natijah akhirnya, hidup kita akan mulia di dunia dan akhirat.

4. Namun jalan kemuliaan itu, laluannya menjanjikan kepayahan. Tidak mudah untuk dilepasi. Ada sahaja liku yang perlu diawasi dan rintangan yang mesti ditempuhi. Ujiannya cukup rencam dan mencabar. Serencam manusia dan ciptaan di zamannya. Tapi itulah sunnah bagi sebuah jihad dan perjuangan. Kalau mudah jalannya, masakan Allah menjanjikan syurga sebagai ganjarannya.

5. Tambah menyukarkan di zaman maddiyah ini. Nilai kemuliaannya sudahpun berbeza. Hanya yang ada nilai kebendaan (money value) akan dianggap berharga, mulia dan utama. Justeru tidak hairan kalau si kaya jiwa (kaya akhlaq) akan dipandang sebelah mata, sedangkan si kaya harta pula diangkat, dimulia, disanjung dan dipuja oleh manusia. Matematiknya mudah untuk difahami, dek kerana tidak ada harga (money value) pada kaya jiwa berbanding kekayaan harta Akhirnya, manusia menjadi ‘buta untuk menilai, kerana yang sepatutnya aula, tidak lagi dianggap aula (prioritas).

6. Apa halnya dengan kelompok agama?.. Selamatkah mereka dari faham maddi (benda) ini?..Ironis sekali kerana sebahagiannya pun demikian gelagatnya. Tersilap dan tersalah juga. Mungkin tewas diasak (oleh suasana), hingga akhirnya menjadi sesak (tenggelam dalam tipuan dan keindahan dunia). Cumanya kita berdoa moga sesak di dunia tidak membawa sesak pula diakhirat. Na’uzubillah…….

Tuesday, April 20, 2010

PROAKTIF DALAM MENILAI KPI SEBENAR


SALAM PERJUANGAN.

1. Semua ibubapa sangat mengharapkan kejayaan bagi anak-anak mereka. Tapi kejayaan yang bagaimana?. Bagi ibubapa yang berjiwa agama, KPInya berbeza dari ibubapa yang biasa. Ibubapa biasa sekadar mahukan anaknya pintar dan berjaya di dalam akademiknya. Namun bagi yang berjiwa agama, impiannya lebih. Mahu menjadikan anaknya, anak yang pintar lagi soleh. Tidak sekadar mencipta dan melakar kejayaan di dunia malahan yang lebih utama di akhirat.

2. Naluri keibubapaan juga turut mendambakan sesuatu yang terbaik untuk anak mereka. Hatta dalam soal memilih sekolah untuk anak mereka, pun begitu juga. Ada banyak pertimbangan dan kriteria yang akan dipertimbangkan serta diambil kira. Baik tentang sistem pengajiannya, kualiti guru, kualiti pelajar, suasana pembelajaran, tahap keselamatan dan penjagaan, tahap disiplin pelajar, prestasi dan pencapaian akademik, aktiviti dan pengisian program, kemudahan infrastruktur dan sebagainya. Semuanya akan dinilai satu persatu kerana ia bakal menentukan dan melibatkan masa depan anak mereka yang disayangi.

3. Lalu bagaimana statusnya di sekolah-sekolah agama (SAR terutamanya), sekiranya kriteria-kriteria itu yang dinilai?. Memuaskah atau tidak?. Barangkali secara keseluruhannya di tahap sederhana. Tapi pokok perbincangan utama di sini adalah keadaan manusianya (pelajarnya). Berjayakah sistem pendidikan di sekolah agama menjadikan mereka berjaya ?. Paling minima standard KPInya adalah baik akhlaqnya.

4. Jika diamati secara jujur, sepatutnya para pelajar di sekolah agama lebih mudah menjadi baik akhlaqnya (soleh) kerana keseluruhan sistem pendidikannya memang menjurus ke arah itu. Sentiasa menanamkan kefahaman dan jiwa beragama (ilmu dan amal). Namun kenapa masih ada yang bermasalah?. Di mana silapnya?.

5. Mungkinkah kriteria-kriteria lainnya belum diintergrasikan secara bersungguh dan sebaiknya oleh pentadbirnya?. Ataukah kita lebih selesa untuk berkata …

“Mustahil akan wujud sekolah yang sempurna. Namakan apa sahaja cirinya, kluster? bestari? integrasi ? atau berprestasi tinggi?, tentu wujud juga kekurangannya seperti sekolah kita!!”…

6. Kalau begitu, KITA BELUM MENUNAIKAN AMANAH ALLAH SEBAIKNYA… AMPUNI KAMI YA ALLAH!!!!

BAHAYA BILA PEMIKIRAN DITUBA


1. Antara peranan utama ajaran Islam adalah membentuk kejernihan pemikiran pada umatnya. Terjernihlah pemikirannya apabila ia bersih dari kotaran jahiliyah di masa silam. Jernih pemikirannya kerana cara fikirnya sentiasa dipimpin dan terpimpin oleh wahyu dan cahaya iman. Jernih pemikirannya kerana Allah tidak membiarkan pokok persoalan asas kehidupan insan, (dari mana?..ke mana dan untuk apa?..insan dijadikan), berlalu tanpa jawapan. Malah Islam menjawabnya dengan jawapan yang sangat menyakinkan.

2. Walhasilnya umat mewarisi pemikiran yang hebat disebabkan kejernihan pemikiran tersebut, hingga berkapasiti bagi menilai sesuatu dengan tepat lagi benar, dan jauh lebih penting lagi, ia tidak menjadi sesat. Perumpamaan kejernihan berfikir umat yang hebat serta kaya dengan kebaikan itu, adalah seperti sifat kejernihan pada air. Iaitu jernih yang mendamaikan, menenangkan, menyegarkan serta menyukakan. Malahan jernihnya air memudahkan pula mata untuk menembusi hingga ke dasarnya.

3. Begitulah apabila pemikiran menjadi jernih, akan mendorong pula kepada jernihnya jiwa (hati) serta ‘jernihnya’ perbuatan (amal soleh) di dalam masyarakat. Justeru rantaian ‘kejernihan’ itu akan melahirkan kedamaian, ketenangan, kesegaran, kesukaan pada sebuah kehidupan. Mudah untuk mengecapi kesenangan dan ketenangan (kemakmuran dan keamanan) dalam hidup kita.

4. Namun yang jernih itu tak selamanya jernih. Ada sahaja yang akan mengeruhnya. (iaitu para musuh Islam berusaha menimbulkan rasa tidak yakin umat Islam kepada ajaran Islam). Justeru pemikiran kita jangan dibiarkan menjadi keruh, kerana keruhnya pemikiran akan menyukarkan kehidupan kita di dunia dan akhirat. Akhirnya kita sudah tidak upaya lagi untuk melihat kebaikan, kebenaran, keadilan, dan keaslian ajaran Islam.

5. Ironisnya, realitinya yang ada, majoriti umat Islam bukan sekadar telah mengeruhkan pemikiran mereka (apabila rasa kurang yakin dengan ajaran Islam) , malah lebih dahsyat daripada itu, mereka telah ‘menuba’ pemikiran mereka. Mereka menuba dengan kepercayaan tahyul dan khurafat, menuba dengan kepercayaan sesat dan menyesatkan, menuba dengan budaya porno dan mengasyikkan, serta menuba dengan budaya hiburan lagi melalaikan . Akibatnya, Islam dan iman di dada umat menjadi mati. Hilanglah kekuatan dan jati diri.

6. Justeru, amanah Allah ini (pemikiran) wajib dipelihara , supaya ianya tidak dituba atau tertuba.......AMIN

Sunday, April 18, 2010

PELAJARI HIDUP DARI HIDUPAN

1. Katak adalah antara spesies hidupan ciptaan Allah. Cuma kebelakangan ini, populariti namanya agak lebih jika mahu dibandingkan dengan lain-lain haiwan. Popular kerana namanya disebut seiring dengan tindakan MELOMPAT (keluar parti) ahli-ahli politik kebelakangan ini.. Namun lompatan sikatak ‘politik’ bukanlah seperti lompatan si katak biasa, kerana ia punya impak yang lebih besar. Malah ketika tulisan ini ditulis pun masih ada tokoh yang melompat. Khabarnya Dr Halili (Bendahari PKR Hulu Selangor). Melompat ke parti UMNO.


2. ‘Katak-katak politik’ ini statusnya memang bahaya. Dek kerana lompatan’nya’ lah , telah tumbang kerajaan PR di Perak. Mencemaskan situasi politik di Pulau Pinang dan terkini mencetuskan gugatan kecil buat kerajaan pimpinan Ustaz Azizan di Kedah. Apapun skill lompatan si katak politik ini, mengundang pujian ataupun kejian, yang jelas ia cukup menggelisahkan ahli-ahli politik hatta rakyat di Malaysia.

3. Tinggalkan cerita katak-katak politik itu…..jom kita bercerita tentang semut pula Cerita yang lebih menenangkan bagi saya, berbanding cerita ‘katak-katak politik’ yang merimaskan tadi. Kerana apabila bercerita tentang semut kita akan ketemu dengan fakta-fakta menarik tentang semut dan kehebatan tuhan. Antara yang boleh dikongsi:

a. Setiap 700 juta semut yang dilahirkan, hanya ada 40 kelahiran bagi manusia. Makanya jumlah semut lebih ramai daripada manusia.
b. Sebuah keluarga semut mempunyai berjuta-juta semut, berbanding 4-5 orang dalam sebuah keluarga manusia.
c. Tidak pernah berlaku pergaduhan, dan kondisi kecamukan di dalam masyarakat semut.
d. Semut sangat mengenali antara satu sama lain,
e. Semut sentiasa saling bertegur sapa
f. Semut adalah haiwan yang sentiasa bekerja secara kolektif (berjamaah) dan tidak mementingkan diri sendiri.
g. Semut sentiasa bekerja mengikut pengkhususan tugas yang telah ditentukan.
h. Semut tidak pula berasa bosan atau jemu dengan tugas yang diberikan
i. Semut semut sentiasa bersedia untuk berkorban .
j. Agihan tugas semut pula berbeza-beza megikut jenisnya:
- Ratu dan semut jantan (berperanan untuk mengekalkan spesies)
- Semut askar (memelihara keluarga, serta menjaga keselamatan
Sarang)
- Semut pekerja (kebanyakannya semut betina yang mandul yang bertugas menjaga ratu, menjaga dan memberi makan anak-anak yang dilahirkan).



4. Didikan Allah melalui perlakuan hebat pada semut seperti kemahiran bekerja, pengorbanan semulajadi, serta kebijaksanaannya menguruskan koloninya (kerajaan dan rakyatnya), jika ditekuni amat menakjubkan dan mesti dicontohi oleh manusia. Kehebatan yang bukan kebetulan tetapi hasil lorongan (ilham) dan dorongan (hidayah) Allah. Terfikirkah kita??.

5. Konklusinya……Allah seakan mahu manusia memerhati dan mempelajari ilmu pengurusan masyarakat daripada semut. Biar akhirnya masyarakatnya rajin seperti semut, biar kehidupannya aman seperti semut, biar subur budaya hormat-menghormati seperti semut, biar jihad dan semangat berkorbannya sehebat semut, dan segala kebaikkannya lagi…….sebagai tanda kasih-sayang dan anugerah Allah yang tidak terhingga buat manusia.

6. Apapun perbezaan antara katak dan semut, namun masih ada persamaannya, iaitu kedua-duanya adalah antara guru hidupan bagi sebuah kehidupan (manusia).

SUBHANALLAH…

Friday, April 16, 2010

YANG JAHAT BERPRINSIP?....YANG BAIK BERPRINSIP?.....


Salam Perjuangan.

1. Datuk Zaid Ibrahim dikatakan sebagai seorang yang berprinsip. Disebabkan prinsiplah beliau melepaskan jawatannya sebagai menteri yang menjaga undang-undang satu ketika dulu. Prinsipnya ketika itu , tidak boleh menerima dan bersekongkol dengan kezaliman ISA yang menahan tanpa bicara YB Teresa Kok dan rakannya dalam DAP.

2. Hari ini, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas pertimbangan prinsip jugalah maka beliau (Datuk Zaid Ibrahim) diangkat sebagai calon PKR dalam PRK di Hulu Langat. Beliau sudah teruji, punya rekod perkhidmatan yang baik kepada rakyat, punya konsistensi memperjuangkan keadilan, berpengalaman dalam pentadbiran (mantan menteri) dan sebagainya. Itulah senarai pendek prinsip-prinsip yang telah disebutkan berkaitan dengan calon PKR itu.

3. Barangkali dek kerana prinsip jugalah, maka tak semena-mena YB Bakar Arang, Kedah melompat keluar dari PKR, menjadi antara ikon BEBAS pada hari ini. Jelas YB Bakar Arang kepada wartawan, (rujuk Malaysia Kini) “Saya melihat bukan sahaja Anwar bekerja, bahkan Najib pun bekerja, dan saya suka cara Najib bekerja”. Begitulah antara jawapan yang akan diberikan oleh mana-mana YB yang melompat. Ada sahaja alasannya. Namun belum pasti apakah alasan itu benar-benar berpaksikan kepada soal prinsip ataupun tidak?. Paling utama apa ASAS yang digunakan sebagai prinsip?.

4. Persoalan ini penting, kerana semuanya mendakwa ada prinsip dan berprinsip. Bukan sahaja orang baik malahan yang jahat pun. Bagi saya kalau orang baik mengaku berprinsip, itu munasabah. Tapi kalau yang jahat juga mengaku demikian, itu mengundang kecelaruan.


5. Sebagai orang Islam, kita wajib menjadikan ajaran agama (Islam) sebagai asas dalam prinsip hidup kita. Baik atau buruk, halal atau haram, adil atau zalim, mulia atau jahat, dosa atau pahala, asasnya adalah nilaian agama (Islam). Tak boleh pandai-pandai diri sendiri. Tak boleh menggunakan aqal semata –mata. Ada pertimbangan ilmu, adab dan akhlaq yang mesti diambil kira. Apa yang dibenarkan agama dikuti, yang ditegah dijauhi. Barulah hidup tak bermusuhan dan berkecamukan.

6. Justeru, agamalah (Islam) yang menjadikan kita berprinsip iaitu dengan prinsip yang hakiki………

Thursday, April 15, 2010

GOOD GOVERNANCE


Salam Ukhuwwah.

1. Majlis pengumuman calon PKR di dalam pilihanraya kecil Hulu Langat, beberapa hari yang lalu, YB Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertegaskan betapa komitmen Pakatan Rakyat untuk melaksanakan dasar (tatasusila) pemerintahan yang baik (good governance), terutamanya di negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat.

2. Kalau difahami daripada definisi ‘good governance’ itu, seperti yang diungkapkan oleh sebahagian sarjana sebagai “ is a term to describe how public institutions conduct public affair in order to guarantee the realization of human right”, kita lekas memahami bahawa maksud dasar pemerintahan yang baik itu (good governance) itu adalah keupayaan mengelakkan rasuah (korupsi) dan salah guna kuasa demi mengutamakan kepentingan dan hak rakyat di dalam pemerintahan.

3. Jom kita susuri antara ciri-ciri utama ‘good governance’ ini, antaranya:

a. Penglibatan aktif
b. Menegakkan hukum (undang-undang)
c. Transparensi (ketelusan)
d. Responsif (kepantasan bertindak)
e. Pemuafakatan
f. Keadilan
g. Efektif (keberkesanan)
h. Ekonomis (kemakmuran)
i. Akauntabiliti (pertangungjawaban)

4. Bayangkan kesannya cukup besar jika dasar (tatasusila) ini diiimplimentasikan dalam pemerintahan negara. Kebaikannya akan lekas merata, antaranya keupayaan meminimakan indeks rasuah (korupsi) negara, pandangan kelompok minoriti akan diwakili, serta pandangan golongan marhein (lemah) turut didengari dan diambil kira dalam setiap keputusan yang diambil (process of decision making).

5. Etika ‘good governance’ ini tidak hanya sesuai bagi sebuah negara, malahan bagi badan korporat atau biasa, antarabangsa atau national, organisasi kecil atau besar, boleh membudayakannya. Bagi saya kalau nak diterapkan dalam modul pembangunan insan (human capital) sekalipun, tidak salah. Biar banyak elemen dan nilai-nilai positif bersarang di dalam diri. Cuma diadaptasi lagi dengan adab dan akhlaq agama. Akhirnya kehebatan muslim benar-benar terasa, sekaligus kehebatan Islam juga terjelma.

6. Mungkinkah SRI Al-Furqan boleh aplikasikan?. Walaupun masih jauh untuk menjadi sempurna, setidak-tidaknya langkah awal menuju kesempurnaan telah dimulakan…. SIRU ‘ALA BARAKATILLAH.

Wednesday, April 14, 2010

MENGHARAPKAN 'INSANIATUL INSAN DI DADA UMAT


Salam perjuangan.

Sebenarnya sejak sebulan yang lalu, saya dan beberapa orang teman telah mengerakkan usaha di negeri Perlis bagi menjayakan kempen membantu rakyat Palestine yang ditindas dan dizalimi. Bezanya kali ini, kami bergerak atas nama Kempen Talian Hayat Palestine (Lifeline Palestine). Kami turut berjaya menemukan rakan-rakan ngo yang lain dan seterusnya berbincang secara serius untuk menjayakan misi kempen tersebut.

Alhamdulillah sekitar 30 ngo telah dilibatkan dan semuanya memberikan kerjasama yang memuaskan. Tentu sekali bagi saya, ini adalah antara catatan pengalaman peribadi yang unik untuk diabadikan. Masakan tidak, walaupun kami berbeza nama dan jenama, tapi semuanya bertekad bagi menjayakan satu misi dan satu matlamat yang dipersetujui iaitu
“ masalah Palestine mesti didahulukan, dan rakyatnya diselamatkan”.

Mungkin kerana kali ini isunya bersifat:
- merentas kepartaian dan kenegerian,
- menjangkau persempadanan negara serta bangsa,
- malah melepasi perbezaan warna kulit hatta agama.

Justeru isu besar yang diangkat dan ditonjolkan adalah isu kemanusiaan yang telah lama dipinggir serta dikuburkan. Hinggakan tidak mampu lagi bagi manusia waras lagi bertamaddun, untuk mengiya dan merestui tindakan zalim, ganas dan kebinatangan, tentera Israel itu ke atas rakyat Palestine. Cuma mereka yang durjana, serta berjiwa haiwani sahaja bersama mereka. (Israel).

Alhamdulillah, rakan-rakan guru di SRI Al-Furqan juga turut berkongsi penderitaan dan kesedihan umat di Palestine. Mereka turut menyelami jiwa, dan perasaan rakyat di sana. Terutamanya setelah mengikuti tanyangan khas bertemakan “PENDERITAAN SAUDARA KITA DI PALESTINE” pada pagi Selasa yang lalu.

Tayangannya walaupun ringkas tapi mesejnya jelas dan mudah dihayati. Natijahnya hari ini, seluruh warga pendidik Al-Furqan termasuk anak-anak pelajar, turut berinfak dan terus berinfak (minima sehari 10 sen/ RM1 selama 20 hari) untuk rakyat Palestine. Jiwa kami benar-benar tersentuh.




Saya pula tentunya tidak lupa untuk mengingatkan mereka, bahawa kalau hari ini kita membantu dan berdoa, insyaallah hari esok, giliran pula kita akan dibantu dan didoakan.

Cuma soalnya, jika demikianlah jernihnya hati anak-anak kita , anda pula bagaimana???
Masih adakah lagi jiwa kemanusiaan manusia (insaniatul insan) di dada?. Lalu apa tindakannya?. Sudahkah anda berdoa?. ….sudahkah anda berderma?.........sudahkah anda zahirkan rasa simpati? Atau sudahkah anda berjihad?.....IAITU KERANA ALLAH UNTUK RAKYAT PALESTINE. Kalau sudah, maka beruntunglah wahai diri kerana jiwa ‘insaniatul insan’ (kemanusiaan manusia) masih engkau miliki…..

Akhirnya terima kasih kepada akhi Firdaus (PK saya yang paling montel) kerana banyak membantu dalam menyiapkan slot-slot tayangan, berkisarkan kesengsaraan rakyat Palestine. Demikian rakan-rakan guru yang lain. Terima kasih semuanya. VIVA PALESTINA!!!!

Tuesday, April 13, 2010

CELIK ICT TAPI BUTA IT


Salam.

Baru-baru ni ada seorang sahabat yang juga AJK PIBG di SRI Al-Furqan bertanyakan tentang meja computer yang terkumpul di balai Islam. Meja computer itu sebenarnya disumbangkan sebuah syarikat untuk sekolah-sekolah PAS di negeri Perlis ni. Isu pokok yang ditanya sahabat tadi bukannya berkaitan meja tu sangat, tapi pokok pertanyaan sebenarnya, bilakah SRI Al-Furqan nak beli computer baru untuk kegunaan para pelajar. Sewajarnya biarlah bilangan komputer yang akan dibeli itu sejumlah bilangan meja yang disumbangkan itu. 8 unit kesemuanya.

Saya mencongak sendirian….bukan pada jumlah kuantitinya, tapi yang lebih mendasar adalah jumlah kos yang akan dibelanjakan, dan dari mana sumbernya???.

Bila direnungkan mungkin ini satu daripada penangan era ICT (infomation, communnication technology) sekarang ini. Zaman di mana dikatakan segala urusan menjadi mudah dan pantas. Zaman maklumat diperolehi hanya di hujung jari. Zaman di mana berhubungan dengan seseorang di hujung dunia mana sekalipun, seperti berada di hadapan mata. Sehinggakan semua orang tak mahu dan tak boleh ketinggalan. Biar semua orang mahir ICT. Peruntukkan besar mesti diberikan. Program demi program mesti disusun. Yang penting pastikan semua orang mesti celik ICT… ….

Begitulah hebatnya penangan ICT ini. Namun kehebatannya tak merata kerana bagi si miskin di Tok Keling, atau si penoreh di Baling, masih terasa sukar untuk merasainya. Bukan tak ingin tapi tak mampu. Malahan segelintirnya memang tak mahu pun (tak tergadai aqidah pun kalau tak mahu) kerana ada perkara lain yang perlu diutamakan, makan minum keluarga seharian , belanja dan yuran persekolahan anak-anak, dan lain-lain lagi yang lebih mendesak.

Biarpun begitu ICT tetap diakui menyenangkan (tugasan) walaupun tidak menenangkan (jiwa). Kerana yang menenangkan bukan ICT tapi IT (iman dan taqwa).
Cuma bezanya kali ini si miskin di Afrika pun turut berpeluang menikmatinya (IT), apatah lagi Pakcik Mail di Jejawi Hutan Buloh (sekadar pinggiran Kangar sahaja). Tanpa ada 2 derajat. Baik kaya ataupun miskin, putih ataupun hitam, melayu ataupun negro, tuan ataupun hamba, rakyat ataupun raja, semuanya berpeluang menikmati IT ini.

Hakikatnya dengan IT inilah kita akan dimuliakan dan dikurniakan ketenangan hakiki oleh Allah (di dalam syurga), berbanding ICT yang belum tentu menenangkan walaupun menyenangkan tugas kita seharian. Pasti lebih beruntunglah kita kalau peruntukan sehebat ICT turut diberikan untuk bangunkan IT (iman & taqwa), agar selamat di akhirat nanti……Amin.

HERO YANG ZERO


Salam.

Terpandang wajah anak-anak di SRI Al-Furqan, kekadang terimbau kembali di zaman kanak-kanak yang dilalui. Masa bermain dengan rakan sebayalah waktu yang cukup mengembirakan. Sebut saja jenis permainannya, polis sentry?, caplong?, aci sembunyi?, jengket-jengket?, dan berbagai lagi, pasti mengundang keseronokan pada jiwa kami anak-anak kecil ketika itu. Ye tak ye jugak nama pun bermain, tak kan nak bersedih pulak?.

Tapi kalau ada sahaja ‘games’ kampong ketika itu yang libatkan kumpulan jahat dan kumpulan baik, maka berebutlah kawan-kawan nak dipilih mengganggotai kumpulan yang baik. Mana tidaknya, terpilih jadi ahli geng baik, maka berpeluanglah ahli kumpulan tersebut untuk ‘imagine’ apa sahaja watak hero yang pernah ditontoninya.

Superman?, Ultraman? Zorro?, six million dollar man?, atau apa sahaja, semuanya ‘bisa’.


Kalau sekarang ni mungkin senarai pilihannya lebih berjela. Boleh jadi Increadible man, x-man, iron man, spiderman, super natural man, imposible man, invisible man dan lain-lain ‘man’ lagi. Tak kira berspenda ataupun tidak, janji hero.

Sebabnya mudah, kerana setiap hero ada kelebihan, kekuatan, dan keistimewaannya yang tersendiri. Malah skill tempur dan teknik mengalahkan musuhnya pun unik dan mengagumkan. Tapi yang lebih penting kejayaannya menumbangkan musuh di akhir cerita. Jadi harapan untuk menang ‘games’ pada masa itu akan lebih cerah, secerah pewarna. Rupanya berjiwa optimistik jugalah kami ketika itu, walaupun masih di usia muda.

Tapi sayangnya pemahaman makna istilah hero pada diri kami hanya sekadar itu sahajalah. Hero yang hanya difahami dalam maksud yang sempit, cuma seorang yang hebat bertempur dan akhirnya menewaskan musuh di akhir ceritanya.

Malang difikirkan kerana tak ramai pula ibubapa yang ingatkan anak-anak kecil ketika itu, bahawa hero-hero kami itu sebenarnya ‘zero’ sahaja. Hero yang zero (kosong) imannya kepada Allah, zero (kosong) amal solehnya, zero (kosong) akhlaq Islamnya dan zero (kosong) pula pegangan agamanya.

Mungkinkah ini indoktrinasi musuh-musuh Islam kepada genarasi muda Islam?. Supaya akhirnya ‘super hero’ sebenar umat Islam iaitu Rasulullah, tidak terpahat di dalam jiwa serta ingatan anak-anak muslim. Kerana musuh-musuh Islam sudah memikirkan, :

- Mana mungkin Rasullah dibiarkan menjadi idola dan uswah hasanah kepada
generasi muda
- Mana mungkin Rasullullah diangkat sebagai super hero umat kerana kejayaannya
merubah musuh yang berjiwa haiwan kepada iman, yang jahiliyah kepada Islam,
yang bermusuhan kepada kasih saying, serta yang zalim kepada penegak
keadilan,

Justeru usaha musuh adalah lupakan dan hilangkan ‘super hero’ sebenar umat itu dari dada setiap muslim. Namun bagi kita Rasulullah tetap adalah super hero sebenar umat Islam ini kerana jasanya yang sangat luarbiasa kepada kita.

Malah peranan kita sekurang-kurangnya menjadi hero kepada anak-anak didik kita iaitu HERO YANG TIDAK ZERO IMAN DAN AKHLAQNYA. Aminnn…….

Monday, April 12, 2010

Apa Khabar Raja dan Penasihat Kita ?.

Salam ukhuwwah.

Pejam celik pejam celik dah pun berlalu 30 hari pelancaran bulan bahasa di sri al-furqan, tempat ana bertugas sekarang. Di kesempatan yang ada sejak pelancarannya, ana banyak berbicara kepada anak-anak pelajar tentang kepentingan budaya membaca, kewajipan & kelebihan menuntut ilmu, kebaikan & kelebihan orang yang berilmu dan penuntut ilmu, kepentingan memilih bahan bacaan yang tepat, tentang sikap & adab sebenar seorang penuntut ilmu dan apa sahaja yang sewaktu dengannya.

Saya turut membaca beberapa arikel dalam simpanan lama saya tentang ilmu dan budaya membaca. Paling terkesan adalah ketika membaca satu artikel tentang kedudukan akal dan hati pada seorang manusia yang diumpamakan seperti peranan seorang penasihat kepada seorang raja di dalam sesebuah negeri.kalaulah jahat nasihat sang penasihat, akan jahatlah raja yang memerintah itu. Begitulah halnya, kalau baik bicara dan nasihat sang penasihat, maka terjelmalah banyak kebaikan kepada si raja. Tentunya rakyat akan menerima kesannya apabila si raja baik ataupun jahat. Tapi jangan lupa.. Antara punca kebejatan dan kesolehan siraja tadi adalah penasihatnya.

Begitulah keadaannya pada diri kita. Bukankah hati adalah raja diri. Dan akal itu yang menasihati (penasihat). Justeru penasihat diri(akal)mesti dipastikan baik supaya si raja diri mampu memerintah rakyatnya (anggotanya) dengan baik. Kalau tak, raja akan sentiasa terbabas dan pastinya rakyat (anggota) dibawahnya enteng sahaja melakukan kerosakan.

Namun bagaimana mahu dipastikan penasihat diri kita adalah seorang penasihat yang baik. Jawabnya adalah dengan ilmu yang bermanfaat (tentu sahaja ilmu agama!). Kerana dengan ilmu agama sahajalah kita dapat kenal antara kebaikan dan keburukan, antara benar dan salah, antara halal dan haram, antara kejelasan dan kesamaran, antara jalan ke syurga dan jalan neraka, antara islam dan jahiyah, antara iman dan kekufuran dan sebagainya.

Oleh itu, jangan pandang mudah kepada persoalan apa yang kita baca. Kerana apa yang kita baca adalah makanan kepada akal kita. Apa yang kita baca mempengaruhi penasihat diri kita (akal kita) dan apa yang kita baca akhirnya mempengaruhi raja diri kita (hati). Malahan lebih penting lagi, apa yang kita baca akan mengambarkan dan menentukan hakikat siapa diri kita akhirnya. Seorang yang soleh ataupun toleh.....semoga anak-anak al-furqan adalaH ANAK-ANAK YANG SOLEH. AMIN.

Sunday, April 11, 2010

WAAH........SABARNYA SANG RIMAU !!


SALAM. Hari ini saya berkongsi cerita tentang kesabaran sang harimau dan kebodohan si kambing gurun kepada anak-anak pelajar saya di Al-Furqan. Memang begitulah setiap perhimpunan pagi isnin, pening jugak kepala dibuatnya memikirkan bahan yang nak dikongsi dengan anak-anak kesayangan di SRI Al-furqan ni. Tapi pagi ni entah kenapa terlintas pulak cite sang rimau ni di kepala ana. Bagus juga difikirkan apabila dapat berkongsi cite ni.

Apapun memang nampak jelas pagi ni, anak-anak memang tak sabar nak dengar cite harimau dan kambing gurun ni. Anak-anak katakan......Ana pun jadi bersemangat dengan 'body languange' anak-anak yang ditunjukkan tu.

Ceritanya hanya berkisar tentang si kambing gurun yang terus melarikan diri mendaki bukit berbatu setelah di kejar oleh si harimau. Si kambing gurun menggunakan segala kelebihan mendaki yang ada untuk selamatkan diri. Tinggallah si harimau menunggu tercunggap-cunggap di kaki bukit dek keletihan. Saiz harimau yang besar dan berat badannya yang agak 'obes'itu, tentu saja menambah beban dan menyukarkannya bergerak. Sang harimau pastinya lekas diundang kepayahan tatkala mendaki.

Ringkas ceritanya, walaupun begitu situasinya, sang harimau tetap sabar menunggu di kaki bukit, walaupun semalaman berembun, namun dirinya tetap menaruh harap. Doanya mungkin, rezekinya benar-benar akan datang mengolek kali ini.

Menjelang pagi keesokkan harinya, seperti biasa dengan langkah cermat dan berhati-hati, si kambing mengintai ke bawa, dan sekali lagi melihat ke arah harimau di kaki bukit. Masa terus berlalu, tapi tika ini, yang dapat dilihat bukan sahaja harimau yang sabar menunggu, tapi bayangan si kambing turut kelihatan. Malah semakin lama semakin membesar pula bayangan tadi. Si kambing gurun dengan rasa puas dan berbangga menyangka kali ini tuahnya memang telah disuratkan, automatik kekuatan dirinya dirasa seakan bertambah, seiring dengan saiz bayangannya yang semakin membesar. Lantas apabila saiz bayangan sudah semakin besar hingga melebihi saiz harimau, si kambing dengan segala kebodohan dirinya mulai turun ke kaki bukit untuk mendekati sang harimau.

Fikirnya kali ini tentu sang harimau dapat saja ditewaskan dengan mudah. Tapi jangkaannya ternyata meleset, dan akhirnya harimau dengan mudah saja membahamnya. Kehairanan seharian si harimau, mungkin fikirnya, kenapa begitu mudah rezekinya pada hari itu....mungkin antara jawabnya SIKAP BODOH, PERASAN DIRI si kambing gurun itulah, antara yang melorongnya. JUSTERU PESAN SAYA KEPADA ANAK-ANAK SAYA , BERFIKIR DAN BERZIKIRLAH.....

SALAM UKHUWWAH


1. Salam. Hari ini ditemani oleh akhi Mohd Yasin, saya memulakan langkah untuk turut memeriahkan dunia blog. Niat di hati, mudah-mudahan dengan kekuatan yang dikurniakan Allah, dapat belajar menulis, untuk berkongsi ilmu dan berdakwah kepada rakan-rakan pengunjung siber yang lain. Rasanya rugi benar, kalu tak cuba merebut peluang pahala melalui medan baru ini. Doakan saya agar dapat istiqamah. AMIN.

2. Bersyukur kerana Timbalan Murshidul Am PAS sempat berkunjung ke rumah ana dan mentahnik baby ana yang ke-6 "MUHAMMAD MUNZIR". Semoga bertambah lagi mujahid yang akan pertahankan agamamu YA ALLAH . AMIN YA RABB!!!