Monday, May 24, 2010

ISU JUDI BOLA: BERJERUBUKAH FIKRAH KITA?


SALAM JIHAD

1. Akhbar Sinar Harian pada tiga hari yang lalu telah menyiarkan reaksi terbaru Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yasin, berkaitan isu lesen judi bola yang diluluskan oleh pihak kerajaan. Kata beliau, kerajaan sedang mempertimbangkan isu berkenaan (untuk meneruskan ataupun tidak pemberian lesen judi bola) dan sedang melihat reaksi rakyat (samada majoriti rakyat bersetuju atau membantah) terhadap keputusan dan tindakan kerajaan itu.

2. Pada hemat saya, situasi kini bukan sahaja memberi peluang kepada kerajaan untuk menilai ‘mood’ dan reaksi rakyat, malah rakyat juga turut berpeluang untuk menilai tahap kecelikkan agama, tahap kefahaman Islam serta tahap kemahuan politik (political will) setiap pimpinan negara ketika ini.Celikkah mereka dengan ajaran dan tuntutan Islam?. Fahamkah mereka akan kewajiban yang mesti ditunaikan sebagai pemimpin sesebuah negara?. Adakah wujud keinginan dan kesungguhan politik dalam diri mereka bagi mendaulatkan Islam di dalam negara Malaysia yang tercinta ini?.

3. Sepatutnya dalam isu judi ini, pemimpin negara lebih mudahlah untuk memahami akan keperluannya, mahu di’halalkan’judi ataupun tidak.Sewajarnya mereka lebih arif, akan penolakkannya di sisi agama dan rakyat jelata. Kalau sekadar bersandarkan 2 hujah ini pun sudah cukup memadai untuk membantu:

Pertama: Judi adalah perkara yang diharamkan secara qat’ie (jelas) di dalam Islam.

Kedua: Tidak ada suatu agama dan bangsa pun di dunia ini yang mengiktiraf judi sebagai amalan dan budaya yang baik dan bermanfaat kepada manusia.


4. Baik apapun agama dan bangsanya, semuanya tidak boleh menerima budaya judi ini. Tidak mahu dan tidak rela dikaitkan budaya dan agama mereka, dengan budaya buruk ini. Budaya yang kemudiannya meneteskan pula rangkaian budaya-budaya negatif yang lain. Budaya samseng (menekan, menipu, memeras ugut,membunuh), budaya mencuri, budaya suka meminjam, sikap malas bekerja, sikap bergantung nasib tanpa berusaha dan sebagainya. Apabila budaya-budaya negatif berakar umbi pastinya akan rosaklah pula sistem nilai dalam kehidupan bermasyarakat. Aqal manusia pun turut di ‘mandom’kan dek judi ini. Budaya berfikir umat akan bertambah gersang kerana judi menyediakan ‘jalan pintas untuk berjaya’. Tak perlu lagi memerah otak dan berusaha keras untuk berjaya.

5. Kriteria seorang pemimpin yang baik, sepatutnya lebih lekas faham dan cepat bertindak untuk menyelematkan rakyatnya daripada terjurumus dalam sebarang kerosakan dan kehancuran. Sentiasa merancang dan bekerja untuk selamatkan rakyat bukannya menghancurkan rakyat. Barulah ada izzah dan karisme dalam pimpinannya. Agama pula dijadikan rujukan serta neraca pertimbangan utama untuk menilai sesuatu perkara, Justeru, seseorang peminpin mestilah celik aqalnya agar tahu antara baik atau buruk, halal atau haram, ma’ruf atau mungkar, untung atau rugi, boros atau jimat, utama atau rantingan , dahulu atau kemudian, baik atau jahat, dan sebagainya. Barulah terserlah upaya dan daya kepimpinannya.


6. Dalam isu lesen judi bola ini, sepatutnya seorang pemimpin tidak perlu melihat reaksi rakyat terlebih dahulu. Yang perlu ditunggu bukannya reaksi rakyat tetapi reaksi agama (Islam) pada aspek hukumnya. Yang diharamkan agama, difatwakan haram. Yang dihalalkan agama, dikatakan halal. Bukan sebaliknya. Kalau beginilah kejerubuan fikrah yang ada pada hari ini, tak bimbangkah kita pada nasib anak cucu yang mendatang….SELAMATKAH AQIDAH, AKHLAQ DAN FIKRAH MEREKA??.

7. Jumpa nanti di demontrasi anti judi bola di Masjid Putra, Kangar nanti(28 Mei 2010). Biar kali ini isyarat dan kemahuan rakyat difahami oleh pemimpin negara yang ada. Nyatakan sokongan saudara, katakan tidak pada JUDI!!

Thursday, May 20, 2010

MENJIWAI KEKUATAN YANG TERPINGGIR


SALAM JIHAD
1. Muktamar Dewan Ulama PAS Negeri Perlis kali ke 33 baru sahaja selesai seminggu yang lalu (15 Mei 2010). Antara rumusan pokoknya, ramai yang meletakkan harapan kepada ulama (khususnya ulama-ulama dalam PAS) bagi memimpin ummah ini. Biar selamat hidup kita di dunia dan akhirat. Justeru, di atas pundak para ulamalah akan tergalasnya satu amanah yang sangat besar. Amanah meneruskan perjuangan para nabi dan para rasul. Amanah membimbing ummah ke jalan kebenaran. Amanah memastikan kelangsungan kepimpinan ulama di masa hadapan. Amanah membina fikrah ulama (fikrah syarie) kepada setiap anggota masyarakat. Amanah mendaulatkan sebuah daulah Islamiyyah dan sederetan amanah-amanah yang lainnya lagi ….Nyata sekali, kesemuanya itu mengundang rasa gerun dan bimbang yang berlapis di hati setiap ulama mukhlisin pada hari ini. Takut tak terpikul akan amanah itu. Takut tak tergalas akan beban tugas yang besar dan mencabar itu. Malah lebih jauh mengusarkan, takut tak terjawab akan pertanggungjawaban itu di Yaumul Mahsyar nanti…………UNSURNA YA ALLAH!!!



2. Apapun muktamar kali ini ada juga keunikkannya. Antara uniknya itu, muktamar kali ini telah dirasmikan oleh AJK Dewan Ulama PAS Pusat merangkap Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Pahang, iaitu Ustaz Mokhtar Senik. Beliau adalah antara pimpinan PAS yang saya kagumi satu ketika dulu. (sekarang pun masih begitu, masih segah kagumnya). Banyak juga buku dan bahan penulisannya yang saya jengah dan susuri. Gayanya berceramah pun saya minati. Ceramahnya jelas, bersahaja dan mudah difahami. Hujahnya kemas dan bernas. Terjalin cantik antara mantik dan dalil syarienya. Serak lemak suaranya pula, sudah cukup untuk meruntun setiap audien memberi fokus kepada ucapannya hingga ke akhir. Cuma kali ini penampilannya nampak punya kelainannya. Tubuhnya yang agak ‘montel’ dulunya , kini kelihatan agak menyusut. Tapi saya cukup yakin semangatnya sentiasa membara seperti dulu. Atau mungkin telah pun menyala sejak dulu, kini dan selamanya. Almaklumlah Ustaz Mokhtar Senik agak lama juga ‘berpesantren’ serta di’ tarbiyyah’ di Kem Tahanan ISA, Kemunting beberapa tahun yang lalu (lebih kurang 3 ½ tahun lamanya).


3. Ucapan Ustaz Mokhtar Senik kali ini juga membekas pada hati dan fikiran saya. Ucapannya mengingatkan para muktamirin, tentang sendi-sendi kekuatan tradisi yang dimiliki oleh PAS selama ini. Kekuatan yang sepatutnya dan semestinya dimiliki oleh para ahli dan pimpinannya. Ironisnya, sendi-sendi kekuatan itu pula yang sering dilupakan. Jarang sangat yang mahu memperkatakannya. Apatah lagi hendak dijadikan mauduk aula (fokus utama) perbincangan oleh kebanyakkan para amilin PAS mutakhir ini. Seperti ada rasa malu-malu, kelu lidah dan tiada energi untuk menyebutnya. Mungkin takut terkena pada batang tubuh sendiri.

4. Namun inilah aspek kekuatan yang menjadi asset sebenar kepada PAS sebagai sebuah gerakan Islam sandaran umat. Malahan secara hakikatnya, sampai bila-bila pun musuh tidak akan mampu memilikinya dan tiada upaya menandingi kita dalam aspek-aspek itu. Inilah kekuatan-kekuatan itu:

-Kekuatan hujah (ilmu yang bersandarkan dalil yang benar)
- kekuatan akhlaq
- Kekuatan kerohanian (aqidah dan ibadah)
- Kekuatan Ukhuwwah
- Kekuatan Jihad dan pengorbanan

5. Lantas usaha mengilap secara serius kesemua kekuatan-kekuatan itu akan kita lakukan. Inilah tekad dan asa kita. Biar kita berbeza dengan musuh. Biar akhirnya yang dikejar akan dapat (kuasa politik) dan yang dikendung tak berciciran (kekuatan peribadi sebenar).
SELAMAT BERJUANG……….SIIRU ‘ALA BARAKATILLAH.

Wednesday, May 19, 2010

TERSERLAHNYA KASIH SAYANG

SALAM UKHHUWWAH


1. Dalam perjalanan menghantar kereta ke bengkel pagi ini, di tepi jalanraya ternampak kelibat 2 ekor burung gembala kerbau yang sedang mematuk-matuk dan menguis-guis tubuh rakannya yang seekor lagi. Namun kondisi rakannya yang dipatuk itu berbeza kali ini. Tubuhnya kini sedang terbaring di tepi jalanraya. Malahan patukan dan kuisan 2 lagi rakan-rakannya itu pun juga tampak berbeza. Tidak seghairah dan sekasar seperti kebiasaan. Seolahnya saya yang dapat merasai seperti ada naluri dalaman yang mengiringi kuisannya. Mungkin itulah yang dikatakan naluri kasih sayang anugerah Allah pada seekor burung. Subhanallah…..

2. Langsung saya tergerak untuk memperlahankan kereta. Terasa untuk mahu menyusuri selanjutnya perasaan halus yang dianugerahkan Allah pada burung ini. Perasaan saya memang tersentuh apabila menyaksikan perlakuan 2 rakan burung yang masih hidup itu. Seperti sukar untuk mereka menerima bahawa rakan mereka telahpun mati. Bukankah baru sebentar tadi mereka terbang, bermain dan mencari makan bersama?. Tapi kini mereka terpaksa berpisah…....YA RABBI!, Rupanya masih ada nilai kasih sayang pada haiwan sekerdil burung ini. Lantas manusia penghuni bumi ini, bagaimana halnya?. Masihkah memiliki kekayaan jiwa seperti burung ini?. Masih punyakah perasaan kasih sayang seperti itu?.

3. Kalau masih ada kasih sayang itu pada diri manusia, sewajarnya sifatnya lebih merata. Bukan sahaja kasih sayang itu perlu dijelmakan sesama manusia, malah ianya perlu dikongsi sesama makhluk yang lain, tumbuhan dan juga haiwan. Malahan yang lebih prioritasnya adalah kasih sayang kita kepada ALLAH (Tuhan sekalian alam). Justeru Allahlah yang mengurniakan kita pelbagai nikmat dan kelebihan.


4. Barangkali anda akan bersetuju, kalau dikatakan walaupun naluri kasih sayang ini nampaknya ‘simple’ namun impaknya cukup besar dalam kehidupan manusia. Tanpanya akan miskinlah jiwa kita. Akhirnya kemiskinan jiwa yang makin meraja itu memungkinkan manusia bertelagah, berhasad dengki, hilang rasa hormat menghormati, dendam kesumat, kurang meraikan, bersikap kasar, susah bertolak ansur, kurang membantu dan sebagainya.

5. Mungkinkah apabila menyerlah dan terserlah kasih sayang dalam kehidupan, tidak akan ada lagi berita-berita yang mengelisahkan dan mengoncang jiwa keimanan kita di dada akhbar?. Baik berita pembunuhan, rompakan, peras ugut, ditahan tanpa bicara, didera, dibogel ketika tahanan, dirampas dan dinafikan hak, khianat, pecah amanah rakyat atau lainnya. Sebabnya kini manusianya lebih disayangi, dihormati, dan dimuliakan selayaknya. Pastinya hidup akan lebih aman kerana penghayatan terhadap elemen kasih-sayang ini sudah terbina dengan sempurna. BERKASIH SAYANGLAH KITA KERANA ALLAH!!

Wednesday, May 5, 2010

BUKAN MILIK KITA

SALAM UKHUWWAH

1. Islam adalah agama yang sempurna dan dipenuhi unsur-unsur kebaikan. Antara nilai murni yang dianjurkan adalah supaya umatnya memiliki amalan dan sikap hormat-menghormati serta saling rai-meraikan antara satu sama lain.


2. Menyedari, tidak ada manusia yang sempurna, maka Islam menganjurkan agar perasaan ini disuburkan. Tanpa ada perkiraan tua-muda, miskin-kaya, alim-jahil, kuli-ketua, sebangsa atau berbeza (bangsa, kulit mahupun agama). Namun manusia hakikatnya masih ada persamaannya. Naluri manusiawinya adalah sama. Sukakan serta mahukan dirinya dihormati dan disantuni sebaiknya.

3. Kita pastinya cukup arif bahawa perasaan saling hormat-menghormati dan saling meraikan, di kalangan anggota masyarakat/jamaah akan melahirkan suasana kerukunan, kasih sayang, bantu-membantu, serta pemedulian yang tinggi di dalam masyarakat/jamaah. Seluruh entiti masyarakat/jamaah akan merasai dirinya penting, dihargai dan diperlukan. Siapapun dirinya di tengah masyarakat/jamaah, kewujudan dan sumbangannya amat terasa.



4. Kita tentunya belajar dari kata-kata ahli hikmah: “Belajarlah daripada rumput. Walaupun dirinya tidak memiliki bunga yang cantik, serta bau yang harum, namun dirinya tetap penting dan berperanan dalam kehidupan. Malah adakalanya peranannya cukup besar dalam situasi yang tertentu.”



5. Lihatlah sahaja pada cerun-cerun bukit yang diteres di sepanjang lebuhraya. Tidak ada tumbuhan sehebat rumput yang mampu untuk mencengkam butiran tanah dicerunnya, agar tanah tetap kukuh dan tidak menggelongsor ke bawah. Namun rumputlah yang menyerlah hebatnya. Keberadaannya berupaya untuk menstabilkan kedudukan tanah, serta mengelakkan berlakunya hakisan dan runtuhan tanah. Inilah realitinya. Biarpun tak ramai yang menyedari kelebihan rumput, tapi yang pastinya kewujudannya jauh lebih penting daripada tumbuhan berbunga wangi yang lain.

6. Fikirkanlah kerana ini adalah sebahagian daripada ayat-ayat manzurah (sign of the creation) yang dipaparkan melalui penciptaan dan kejadian alam. Seni didikan Allah, buat memperkukuh jiwa keimanan serta membuktikan kebesaran tuhan. Apa yang penting manusia mesti mengambil pengajaran daripadanya. Supaya jangan ada di kalangan kita menjadi sombong, kagum atau megah diri kerana kelebihan yang ada. Dan jangan ada pula di kalangan kita yang tidak pandai meraikan kewujudan dan kelebihan orang lain, apatah lagi sesama teman seperjuangan.

7. Justeru ingatkanlah diri selalu, “biar banyak mana pun kelebihan kita, sehebat mana pun diri kita, sebesar mana pun sumbangan dan jasa kita, selincah mana pun kerajinan dan keaktifan kita, atau setinggi mana pun jawatan dan amanah yang dipikul oleh kita, kita tidak wajar dan tidak layak untuk merasa megah dan hebat, apatah lagi untuk menghina, memperlekeh dan merendahkan orang lain. Kita perlu belajar iaitu belajarlah meraikan orang lain”………………………….. Kerana bak kata lirik nasyid Rabbani, ” BUKAN MILIK KITA, TIDAK ADA MILIK KITA, SEMUA YANG ADA, ALLAH YANG PUNYA….”

Monday, May 3, 2010

PEMBURU AL-HIKMAH


SALAM PERJUANGAN.

1. Hari ni saya tergerak untuk berkongsi rasa tak berpuas hati segelintir manusia. Antara rasa yang bergetar di dalam diri mereka:

SATU

“ Tak syarie sepenuhnya pun filem tu!. Kenapa pula ustaz-ustaz yang anjurkan tayangannya?. Apa istimewanya filem tu, sedangkan ada seorang pelakonnya yang tak tutup aurat?. Dunia memang di akhir zaman, ulama pun menyokong mungkar”,

Keluhan ini adalah keluhan segelintir kecil penonton filem KCB (Ketika Cinta Bertasbih 1 & 2) yang dilancarkan oleh teman-teman AJK Dewan Ulama PAS Perlis baru-baru ni.

Cuma tanya saya sendirian: Bagaimana pula dengan berpuluh lagi pelakon KCB yang bertudung?. Bagaimana pula jalan penceritaan dan dialog-dialognya yang mendidik umat tentang agamanya?. Nilaian saya… KCB cukup baik malah jika ada lagi filem yang lebih baik, kami pasti akan lebih menyokongnya.

DUA

a. Ketika sedang bersarapan di warong kopi As-Saggoff, saya terbaca satu risalah. Antara yang disentuh adalah …….


“cara mudah untuk kenali golongan yang diredhai kaum Yahudi, dan Nasrani adalah golongan ini menyokong sistem ciptaan Yahudi-Kristian, seperti sistem demokrasi berpelembagaan, dan sistem ekonomi kaitalis. Sementara gerakan Islam yang menerima sistem demokrasi ini mesti ditolak kerana mereka telah mengimani sistem tersebut, dan bermaksud mereka telah diredhai oleh Yahudi dan Nasrani. “-

Ini adalah antara inti kandungan dari risalah mingguan terbaru Hizbur Tahrir untuk menolak wasilah PAS menyertai plihanraya di Malaysia.

Cuma tanya saya sendirian: Rugikah Islam apabila gerakan Islam PAS terlibat dalam pilihanraya?. Rugikah Islam apabila Tok guru memanfaatkan kedudukannya sebagai MB di Kelantan, contohnya (iaitu hasil kemenangan dalam pilihanraya melalui sistem demokrasi), untuk haramkan arak, untuk menghalang pergaulan bebas, untuk mendidik rakyat bersolat, dan bermacam lagi amar maaruf nahi mungkar yang dilaksanakan.

2. Mungkinkah keluhan ini mengambarkan kebiasaan sikap manusia… yang sering menghijab segunung kebaikan, hanya kerana sekelumit kesalahan/keburukan. Justeru adilkah kita untuk menolak segala kebaikkan, hanya kerana satu keburukan?. Rasionalkah kita untuk menutup segala ruang dan peluang (untuk berdakwah secara kreatif) demi memenangkan Islam?. Dan bijakkah kita sekiranya enggan memanfaatkan kelemahan musuh (walaupun melalui sistem kufur) yang akhirnya bakal menonjolkan segala kebaikan. kelebihan dan kehebatan Islam.



3. Pastinya pesanan Rasulluah tidak akan kita lupa bahawa “Hikmah itu adalah barang yang hilang dari orang-orang mukmin. Maka kutiplah ia di mana sahaja kamu menjumpainya” (mafhum hadis).. ……

4. Semoga Allah membantu kita menjadi pemburu segala kebaikkan (hikmah) itu…..AMEEN.