Wednesday, May 5, 2010

BUKAN MILIK KITA

SALAM UKHUWWAH

1. Islam adalah agama yang sempurna dan dipenuhi unsur-unsur kebaikan. Antara nilai murni yang dianjurkan adalah supaya umatnya memiliki amalan dan sikap hormat-menghormati serta saling rai-meraikan antara satu sama lain.


2. Menyedari, tidak ada manusia yang sempurna, maka Islam menganjurkan agar perasaan ini disuburkan. Tanpa ada perkiraan tua-muda, miskin-kaya, alim-jahil, kuli-ketua, sebangsa atau berbeza (bangsa, kulit mahupun agama). Namun manusia hakikatnya masih ada persamaannya. Naluri manusiawinya adalah sama. Sukakan serta mahukan dirinya dihormati dan disantuni sebaiknya.

3. Kita pastinya cukup arif bahawa perasaan saling hormat-menghormati dan saling meraikan, di kalangan anggota masyarakat/jamaah akan melahirkan suasana kerukunan, kasih sayang, bantu-membantu, serta pemedulian yang tinggi di dalam masyarakat/jamaah. Seluruh entiti masyarakat/jamaah akan merasai dirinya penting, dihargai dan diperlukan. Siapapun dirinya di tengah masyarakat/jamaah, kewujudan dan sumbangannya amat terasa.



4. Kita tentunya belajar dari kata-kata ahli hikmah: “Belajarlah daripada rumput. Walaupun dirinya tidak memiliki bunga yang cantik, serta bau yang harum, namun dirinya tetap penting dan berperanan dalam kehidupan. Malah adakalanya peranannya cukup besar dalam situasi yang tertentu.”



5. Lihatlah sahaja pada cerun-cerun bukit yang diteres di sepanjang lebuhraya. Tidak ada tumbuhan sehebat rumput yang mampu untuk mencengkam butiran tanah dicerunnya, agar tanah tetap kukuh dan tidak menggelongsor ke bawah. Namun rumputlah yang menyerlah hebatnya. Keberadaannya berupaya untuk menstabilkan kedudukan tanah, serta mengelakkan berlakunya hakisan dan runtuhan tanah. Inilah realitinya. Biarpun tak ramai yang menyedari kelebihan rumput, tapi yang pastinya kewujudannya jauh lebih penting daripada tumbuhan berbunga wangi yang lain.

6. Fikirkanlah kerana ini adalah sebahagian daripada ayat-ayat manzurah (sign of the creation) yang dipaparkan melalui penciptaan dan kejadian alam. Seni didikan Allah, buat memperkukuh jiwa keimanan serta membuktikan kebesaran tuhan. Apa yang penting manusia mesti mengambil pengajaran daripadanya. Supaya jangan ada di kalangan kita menjadi sombong, kagum atau megah diri kerana kelebihan yang ada. Dan jangan ada pula di kalangan kita yang tidak pandai meraikan kewujudan dan kelebihan orang lain, apatah lagi sesama teman seperjuangan.

7. Justeru ingatkanlah diri selalu, “biar banyak mana pun kelebihan kita, sehebat mana pun diri kita, sebesar mana pun sumbangan dan jasa kita, selincah mana pun kerajinan dan keaktifan kita, atau setinggi mana pun jawatan dan amanah yang dipikul oleh kita, kita tidak wajar dan tidak layak untuk merasa megah dan hebat, apatah lagi untuk menghina, memperlekeh dan merendahkan orang lain. Kita perlu belajar iaitu belajarlah meraikan orang lain”………………………….. Kerana bak kata lirik nasyid Rabbani, ” BUKAN MILIK KITA, TIDAK ADA MILIK KITA, SEMUA YANG ADA, ALLAH YANG PUNYA….”

No comments:

Post a Comment