Monday, July 26, 2010

KESEIMBANGAN YANG TERSIRNA

Salam perjuangan.


1. Entah mengapa kali ini diri sangat terdorong untuk mengungkapkan makna KESEIMBANGAN dalam ucapan pada himpunan pagi Isnin bersama pelajar hari ini. Mungkin impak penulisan Dr. Muhammad Ali Hasyimi di ruang muqaddimah bukunya yang berjudul “ Keperibadian Seorang Muslim Dari Al-Quran dan As-Sunnah” yang masih segar dan membekas pada kotak pemikiran dan jantung hati saya.

2. Antara perkara yang melatari tulisannya serta isu yang cuba diangkat dan diketengahkan beliau dalam lewat karangannya itu, adalah mengenai kebimbangan dan kekecewaannya menyaksikan semakin tersirnanya peribadi-peribadi muslim yang boleh dicontohi umat dewasa ini. Iaitu peribadi-peribadi yang berupaya menjelmakan penghayatan Islam yang baik dan seimbang dalam segala aspek hidupnya. Baik aqal, fizikal, roh dan emosinya. Segalanya itu akan diberikan fokus, hak dan penekanan yang sewajarnya. Apapun itulah yang sudah sukar diketemukan di zaman moden ini.

3. Kalau diizinkan kepada kita bertemu dengan individu yang sedemikian sifatnya, maka bersyukurlah kepada Allah kerana itupun sebahagian daripada kurniaan nikmatnya kepada kita. Nikmat yang membolehkan kita melihat dan bertemu dengan orang-orang soleh yang sebenarnya. Kerana muslim yang memiliki pakej keseimbangan bersifat kulli (menyeluruh) pada dirinya seperti kuat imannya, bijak aqalnya, bersih dan kemas penampilannya, sihat tubuh badannya, elok ibadahnya, mulia akhlaqnya, tinggi adabnya serta kental jiwa jihad dan pengorbanannya, sangat sukar untuk dijumpai lagi. Barangkali inilah pakej KESEIMBANGAN yang didambakan pada setiap muslim itu oleh Dr. Muhammad Ali Hashimi. Malah itulah sebenarnya makna pada sebuah KEJAYAAN pada diri setiap insan. Kejayaan mewujudkan keseimbangan segala elemen dalam dirinya. Oleh itu, semakin kita menghampiri kesempurnaan keseimbangan itu, semakin tinggilah tahap atau nilai kejayaan sebenar yang dicapainya.

4. Justeru saya amat terdorong untuk berusaha memahamkan anak-anak pelajar saya kali ini akan makna KESEIMBANGAN itu. Tetapi mesej besar itu tentunya perlu diadaptasi agar lebih mudah untuk difahami, sesuai dengan tahap mereka. Mesej mudah untuk mereka fahami dan ingat adalah ‘HIDUP KITA MESTILAH SEIMBANG’. Maknanya segala unsur pada diri manusia seperti aqal, jasad, roh dan emosi, semuanya mesti diberikan penekanan, hak dan ‘makanan’ sewajarnya. Jangan ada mana-mana bahagian yang dibiarkan atau dicacatkan tanpa makanannya. Makanan berbentuk ilmu pada aqalnya, makanan yang halal dan toyyib (baik) pada jasadnya, makanan berbentuk amal-amal soleh pada rohnya, makanan berbentuk redha, sabar, tenang, qanaah pada emosinya. Supaya jangan ada lagi dalam kehidupan ini nantinya, manusia yang bijak tetapi jahat. Jangan ada lagi yang ‘OK’ ibadahnya tapi ‘KO’ aqalnya. Jangan ada lagi yang nampak perkasa pada tubuhnya tapi terseksa pula jiwa dan imannya. Jangan ada lagi yang nampak beres hubungannya dengan Allah, tetapi kasar dan biadap sesama manusia.


5. Biarpun ada sebahagian pelajar nampak ternganga dan terkebil-kebil, sekurangnya-kurangnya aqal mereka diasak dan dicabar kali ini iaitu untuk BERFIKIR. Berfikir untuk kemuliaan diri dan Islam. Acapkali juga saya mengingatkan mereka serta rakan-rakan guru yang ada bahawa kalaupun tidak Islam dimuliakan kerana kita, janganlah pula Islam dihina kerana kita.

“Berikanlah kami akan bimbingan dan hidayahMu Ya Rabb!!..........AMIN.”

4 comments:

  1. nak sampaikan msg kpd anak2 murid ada caranya..bukan mggunakann bhs yg tinggi dan ucapan yg berbunga2....baru murid faham..jgn masuk telinga kanan,keluar telinga kiri..nak mengajar pun begitulah...kena ada caranya...baru murid jadi elok akhlaknya....yug penting kna tau kaedah yg betul....

    ReplyDelete
  2. anda bkn seorg pejuang pas perlis..tapi adalah penghancur pas perlis..buktinya anda adalah ahli umno....anda hanya berpura2 shj...semua org tahu...tp anda pura2 bodoh...anda berlakon jadi baik,tapi sebenarnya hati buruk..

    ReplyDelete
  3. Jangan ada lagi yang nampak beres hubungannya dengan Allah, tetapi kasar dan biadap sesama manusia._pikir sendiri kata2 ini...

    ReplyDelete
  4. apahal marah2...article yg sangat menarik, yg boleh membuka minda...pedulikan kata org, InsyaAllah, teruskan perjuagan..

    ReplyDelete