Wednesday, May 19, 2010

TERSERLAHNYA KASIH SAYANG

SALAM UKHHUWWAH


1. Dalam perjalanan menghantar kereta ke bengkel pagi ini, di tepi jalanraya ternampak kelibat 2 ekor burung gembala kerbau yang sedang mematuk-matuk dan menguis-guis tubuh rakannya yang seekor lagi. Namun kondisi rakannya yang dipatuk itu berbeza kali ini. Tubuhnya kini sedang terbaring di tepi jalanraya. Malahan patukan dan kuisan 2 lagi rakan-rakannya itu pun juga tampak berbeza. Tidak seghairah dan sekasar seperti kebiasaan. Seolahnya saya yang dapat merasai seperti ada naluri dalaman yang mengiringi kuisannya. Mungkin itulah yang dikatakan naluri kasih sayang anugerah Allah pada seekor burung. Subhanallah…..

2. Langsung saya tergerak untuk memperlahankan kereta. Terasa untuk mahu menyusuri selanjutnya perasaan halus yang dianugerahkan Allah pada burung ini. Perasaan saya memang tersentuh apabila menyaksikan perlakuan 2 rakan burung yang masih hidup itu. Seperti sukar untuk mereka menerima bahawa rakan mereka telahpun mati. Bukankah baru sebentar tadi mereka terbang, bermain dan mencari makan bersama?. Tapi kini mereka terpaksa berpisah…....YA RABBI!, Rupanya masih ada nilai kasih sayang pada haiwan sekerdil burung ini. Lantas manusia penghuni bumi ini, bagaimana halnya?. Masihkah memiliki kekayaan jiwa seperti burung ini?. Masih punyakah perasaan kasih sayang seperti itu?.

3. Kalau masih ada kasih sayang itu pada diri manusia, sewajarnya sifatnya lebih merata. Bukan sahaja kasih sayang itu perlu dijelmakan sesama manusia, malah ianya perlu dikongsi sesama makhluk yang lain, tumbuhan dan juga haiwan. Malahan yang lebih prioritasnya adalah kasih sayang kita kepada ALLAH (Tuhan sekalian alam). Justeru Allahlah yang mengurniakan kita pelbagai nikmat dan kelebihan.


4. Barangkali anda akan bersetuju, kalau dikatakan walaupun naluri kasih sayang ini nampaknya ‘simple’ namun impaknya cukup besar dalam kehidupan manusia. Tanpanya akan miskinlah jiwa kita. Akhirnya kemiskinan jiwa yang makin meraja itu memungkinkan manusia bertelagah, berhasad dengki, hilang rasa hormat menghormati, dendam kesumat, kurang meraikan, bersikap kasar, susah bertolak ansur, kurang membantu dan sebagainya.

5. Mungkinkah apabila menyerlah dan terserlah kasih sayang dalam kehidupan, tidak akan ada lagi berita-berita yang mengelisahkan dan mengoncang jiwa keimanan kita di dada akhbar?. Baik berita pembunuhan, rompakan, peras ugut, ditahan tanpa bicara, didera, dibogel ketika tahanan, dirampas dan dinafikan hak, khianat, pecah amanah rakyat atau lainnya. Sebabnya kini manusianya lebih disayangi, dihormati, dan dimuliakan selayaknya. Pastinya hidup akan lebih aman kerana penghayatan terhadap elemen kasih-sayang ini sudah terbina dengan sempurna. BERKASIH SAYANGLAH KITA KERANA ALLAH!!

1 comment:

  1. anda berbicara ttg kasih sayang,ttp hakikatnya menyakiti hati sesama manusia...ramai rakan2 anda mencemuh dgn sikap anda..ada yg dibelakang ,ada juga di hadapan.....anda juga berpura sbg aktivis pas ttp hakikatnya penghancur pas perlis...tunggulah balasan tuhan nnti....tak usahlah berpura2 diam atau membatu...anda sdh byk membuat blog yg menjadi gudang dosa diri sndri dan org ramai...bertaubatlah...

    ReplyDelete