Monday, April 12, 2010

Apa Khabar Raja dan Penasihat Kita ?.

Salam ukhuwwah.

Pejam celik pejam celik dah pun berlalu 30 hari pelancaran bulan bahasa di sri al-furqan, tempat ana bertugas sekarang. Di kesempatan yang ada sejak pelancarannya, ana banyak berbicara kepada anak-anak pelajar tentang kepentingan budaya membaca, kewajipan & kelebihan menuntut ilmu, kebaikan & kelebihan orang yang berilmu dan penuntut ilmu, kepentingan memilih bahan bacaan yang tepat, tentang sikap & adab sebenar seorang penuntut ilmu dan apa sahaja yang sewaktu dengannya.

Saya turut membaca beberapa arikel dalam simpanan lama saya tentang ilmu dan budaya membaca. Paling terkesan adalah ketika membaca satu artikel tentang kedudukan akal dan hati pada seorang manusia yang diumpamakan seperti peranan seorang penasihat kepada seorang raja di dalam sesebuah negeri.kalaulah jahat nasihat sang penasihat, akan jahatlah raja yang memerintah itu. Begitulah halnya, kalau baik bicara dan nasihat sang penasihat, maka terjelmalah banyak kebaikan kepada si raja. Tentunya rakyat akan menerima kesannya apabila si raja baik ataupun jahat. Tapi jangan lupa.. Antara punca kebejatan dan kesolehan siraja tadi adalah penasihatnya.

Begitulah keadaannya pada diri kita. Bukankah hati adalah raja diri. Dan akal itu yang menasihati (penasihat). Justeru penasihat diri(akal)mesti dipastikan baik supaya si raja diri mampu memerintah rakyatnya (anggotanya) dengan baik. Kalau tak, raja akan sentiasa terbabas dan pastinya rakyat (anggota) dibawahnya enteng sahaja melakukan kerosakan.

Namun bagaimana mahu dipastikan penasihat diri kita adalah seorang penasihat yang baik. Jawabnya adalah dengan ilmu yang bermanfaat (tentu sahaja ilmu agama!). Kerana dengan ilmu agama sahajalah kita dapat kenal antara kebaikan dan keburukan, antara benar dan salah, antara halal dan haram, antara kejelasan dan kesamaran, antara jalan ke syurga dan jalan neraka, antara islam dan jahiyah, antara iman dan kekufuran dan sebagainya.

Oleh itu, jangan pandang mudah kepada persoalan apa yang kita baca. Kerana apa yang kita baca adalah makanan kepada akal kita. Apa yang kita baca mempengaruhi penasihat diri kita (akal kita) dan apa yang kita baca akhirnya mempengaruhi raja diri kita (hati). Malahan lebih penting lagi, apa yang kita baca akan mengambarkan dan menentukan hakikat siapa diri kita akhirnya. Seorang yang soleh ataupun toleh.....semoga anak-anak al-furqan adalaH ANAK-ANAK YANG SOLEH. AMIN.

1 comment:

  1. Alhamdulilah .... cerita bagus. Bagus untuk saya perpanjangkan pahala tuan. Insyaalah , saya akan guna cerita ini untuk memotivasikan murid-murid saya ke arah mengebal Allah.

    Cuma ..... satu sahaja .... eloklah kalau tuan dapat menulis menggunakan huruf kecil, dan elakkan menulis dalam huruf besar. Dalam etika berinternet, menggunakan huruf besar bermaksud seseorang itu sedang marah dan berkasar bahasa.

    Jika ada isi-isi penting, sangat elok jika tuan dapat menggunakan warna font yang berlainan.

    Sekian

    ReplyDelete