Sunday, April 25, 2010

MENGUSAHAKAN KEMULIAAN


Salam Ukhuwwah.

1. Banyak sebab manusia dipandang mulia di sisi manusia. Mulia disebabkan ilmu, harta, jiwa, pangkat, keturunan, dan lain-lain. Tapi seseorang itu hanya memperoleh kemuliaan di sisi Allah, apabila dirinya benar-benar bertaqwa kepada Allah. Itu sahaja jalannya. Adapun faktor kemulian yang lain, seperti ilmu, harta,pangkat, dan keturunan akan hanya bermakna buat pemiliknya jika asas taqwa tadi sudah terbina. Itulah syarat kemuliaan yang terbuka kepada semua jenis manusia, kaya-miskin, tua-muda , tuan-hamba, alim-jahil, rakyat -pemimpin, semuanya turut berpeluang. Kalau mahu seribu jalan, enggan seribu dalih. Tepuk dada tanyalah iman…..

2. As-syahid Abdullah Azzam, meletakkan moto hidup dirinya serta pengikutnya yang sangat menarik untuk dihayati. Motto yang ringkas “HIDUP BIAR MULIA, MATI BIAR SYAHID”. Memberi isyarat yang jelas bahawa maudu’ kemuliaan ini adalah agenda hidup yang sangat penting dan mesti diutamakan dalam kehidupan kita khususnya para pejuang Islam. Supaya segala tindakan yang lahir adalah bertitik tolak dari pertimbangan kemuliaan ini. Mahu dilihat mulia pada pandangan manusia atau mulia di sisi Allah?....

3. Baginda Rasul s.a.w pula sentiasa mendidik umatnya untuk menjadi mulia. Antara anjurannya adalah supaya umat berusaha bangun beribadah kepada Allah dengan ikhlas di malam hari (qiamullail), dan tidak bergantung hidup kepada orang lain. Kerana itulah jalan yang mampu ‘menurapkan’ kehebatan hubungan kita dengan Allah, membina kehebatan dalam bermuamalah sesama manusia, serta turut hebat di dalam menguruskan kehidupan.Natijah akhirnya, hidup kita akan mulia di dunia dan akhirat.

4. Namun jalan kemuliaan itu, laluannya menjanjikan kepayahan. Tidak mudah untuk dilepasi. Ada sahaja liku yang perlu diawasi dan rintangan yang mesti ditempuhi. Ujiannya cukup rencam dan mencabar. Serencam manusia dan ciptaan di zamannya. Tapi itulah sunnah bagi sebuah jihad dan perjuangan. Kalau mudah jalannya, masakan Allah menjanjikan syurga sebagai ganjarannya.

5. Tambah menyukarkan di zaman maddiyah ini. Nilai kemuliaannya sudahpun berbeza. Hanya yang ada nilai kebendaan (money value) akan dianggap berharga, mulia dan utama. Justeru tidak hairan kalau si kaya jiwa (kaya akhlaq) akan dipandang sebelah mata, sedangkan si kaya harta pula diangkat, dimulia, disanjung dan dipuja oleh manusia. Matematiknya mudah untuk difahami, dek kerana tidak ada harga (money value) pada kaya jiwa berbanding kekayaan harta Akhirnya, manusia menjadi ‘buta untuk menilai, kerana yang sepatutnya aula, tidak lagi dianggap aula (prioritas).

6. Apa halnya dengan kelompok agama?.. Selamatkah mereka dari faham maddi (benda) ini?..Ironis sekali kerana sebahagiannya pun demikian gelagatnya. Tersilap dan tersalah juga. Mungkin tewas diasak (oleh suasana), hingga akhirnya menjadi sesak (tenggelam dalam tipuan dan keindahan dunia). Cumanya kita berdoa moga sesak di dunia tidak membawa sesak pula diakhirat. Na’uzubillah…….

No comments:

Post a Comment