Friday, April 16, 2010

YANG JAHAT BERPRINSIP?....YANG BAIK BERPRINSIP?.....


Salam Perjuangan.

1. Datuk Zaid Ibrahim dikatakan sebagai seorang yang berprinsip. Disebabkan prinsiplah beliau melepaskan jawatannya sebagai menteri yang menjaga undang-undang satu ketika dulu. Prinsipnya ketika itu , tidak boleh menerima dan bersekongkol dengan kezaliman ISA yang menahan tanpa bicara YB Teresa Kok dan rakannya dalam DAP.

2. Hari ini, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas pertimbangan prinsip jugalah maka beliau (Datuk Zaid Ibrahim) diangkat sebagai calon PKR dalam PRK di Hulu Langat. Beliau sudah teruji, punya rekod perkhidmatan yang baik kepada rakyat, punya konsistensi memperjuangkan keadilan, berpengalaman dalam pentadbiran (mantan menteri) dan sebagainya. Itulah senarai pendek prinsip-prinsip yang telah disebutkan berkaitan dengan calon PKR itu.

3. Barangkali dek kerana prinsip jugalah, maka tak semena-mena YB Bakar Arang, Kedah melompat keluar dari PKR, menjadi antara ikon BEBAS pada hari ini. Jelas YB Bakar Arang kepada wartawan, (rujuk Malaysia Kini) “Saya melihat bukan sahaja Anwar bekerja, bahkan Najib pun bekerja, dan saya suka cara Najib bekerja”. Begitulah antara jawapan yang akan diberikan oleh mana-mana YB yang melompat. Ada sahaja alasannya. Namun belum pasti apakah alasan itu benar-benar berpaksikan kepada soal prinsip ataupun tidak?. Paling utama apa ASAS yang digunakan sebagai prinsip?.

4. Persoalan ini penting, kerana semuanya mendakwa ada prinsip dan berprinsip. Bukan sahaja orang baik malahan yang jahat pun. Bagi saya kalau orang baik mengaku berprinsip, itu munasabah. Tapi kalau yang jahat juga mengaku demikian, itu mengundang kecelaruan.


5. Sebagai orang Islam, kita wajib menjadikan ajaran agama (Islam) sebagai asas dalam prinsip hidup kita. Baik atau buruk, halal atau haram, adil atau zalim, mulia atau jahat, dosa atau pahala, asasnya adalah nilaian agama (Islam). Tak boleh pandai-pandai diri sendiri. Tak boleh menggunakan aqal semata –mata. Ada pertimbangan ilmu, adab dan akhlaq yang mesti diambil kira. Apa yang dibenarkan agama dikuti, yang ditegah dijauhi. Barulah hidup tak bermusuhan dan berkecamukan.

6. Justeru, agamalah (Islam) yang menjadikan kita berprinsip iaitu dengan prinsip yang hakiki………

No comments:

Post a Comment