Monday, April 26, 2010

MEETING...OH...MEETING


SALAM PERJUANGAN.

1. Program sepanjang minggu ini memang padat. Malah ada hari yang kena hadir sampai empat kali mesyuarat. Pagi dua mesyuarat, petang satu dan malam pula ada lagi satu mesyuarat. Lazimnya pula setiap mesyuarat akan berlangsung dua ke tiga jam. Teringat kata-kata dari seorang teman lama dalam perjuangan PAS ni, “mesyuarat punya mesyuarat, akhirnya rambut tinggal seurat, meeting punya meeting, habis biskut dalam tin”. Kalau musim mesyuarat agong kawasan seperti sekarang ni, tentunya masa yang lebih lama terpaksa dihabiskan. Ada kawasan mesyuaratnya setakat petang, ada pula yang bersambung hingga kelarut malam, baru selesai agendanya. Tentulah meletihkan dan memeningkan….

2. Tapi bagi teman-teman pejuang yang bersikap aktif dan proaktif semasa mesyuarat, walaupun agak letih bermesyuarat, namun dirinya tetap merasa bersemangat, puas, teruja dan terubat. Lantaran fahamnya cukup jelas, iaitu:

i. Bermesyuarat adalah tuntutan agama dan sunnah yang perlu diamalkan.
ii. Mesyuarat adalah antara bentuk kerja yang wajar disempurnakan.
iii. Mesyuarat adalah nadi kejayaan utama kepada setiap aktiviti.
iv. Tanpa mesyuarat sukarlah dijalankan aktiviti, sebaliknya tanpa akiviti/tindakan tidaklah bermakna mesyuarat sama sekali.


3. Dirinya akan merasa puas kerana sebahagian amanah dan tanggungjawab yang diberikan dapat dilunaskan. Kadang-kadang puas bercampur teruja apabila berpeluang mengemukakan pandangan dalam apa saJa isu atau permasalahan. Bukannya hebat sangat pun tapi setidak-tidaknya disinilah medannya (training centre) bagi membiasakan kita berfikir secara bernas, berhikmah, tenang dan matang. Berlatih untuk berfikir secara kritis, kreatif dan di ‘luar kotak’ kebiasaan. Terubatlah sebahagian keletihan kerana memahami betapa banyak ‘formula’ mahupun ilmu, diperolehi dan dikongsi.

4. Mesyuarat juga adalah antara platform mengasah bakat kepimpinan seseorang, agar tinggi mantiknya, tenang perwatakannya, punya kebijakkan dalam tutur bicaranya, berpandangan jauh, berseni dalam menguruskan kepelbagaian pandangan serta berhikmah di dalam menentukan keputusan. Inilah antara ‘skill’ yang perlu ada pada seorang pemimpin yang hebat.

5. Nama-nama besar dan hebat di dalam PAS seperti Prof. Zulkifli Muhamad, Ustaz Abu Bakar Hamzah, Ustaz Fadhil Mohd Noor, Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Dato Dr. Harun Din, Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Ustaz Hashim Jasin (Perlis) dan ramai lagi, memang diakui memiliki khazanah kehebatan ini dan perlu dicontohi.


6. Oleh itu, bermesyuaratlah walaupun sekejap cuma, kerana dengannya kita perolehi seni menguruskan banyak perkara. Baik sikap, pandangan, emosi, komunikasi, seni memilih dan sebagainya. Kerana setiap kali kita berjaya menguruskan mesyuarat, juga bermakna kita turut berjaya menguruskan manusia… betapa luasnya ilmuMu Ya Allah!….ALLAHUAKBAR!!

No comments:

Post a Comment