Tuesday, April 20, 2010

BAHAYA BILA PEMIKIRAN DITUBA


1. Antara peranan utama ajaran Islam adalah membentuk kejernihan pemikiran pada umatnya. Terjernihlah pemikirannya apabila ia bersih dari kotaran jahiliyah di masa silam. Jernih pemikirannya kerana cara fikirnya sentiasa dipimpin dan terpimpin oleh wahyu dan cahaya iman. Jernih pemikirannya kerana Allah tidak membiarkan pokok persoalan asas kehidupan insan, (dari mana?..ke mana dan untuk apa?..insan dijadikan), berlalu tanpa jawapan. Malah Islam menjawabnya dengan jawapan yang sangat menyakinkan.

2. Walhasilnya umat mewarisi pemikiran yang hebat disebabkan kejernihan pemikiran tersebut, hingga berkapasiti bagi menilai sesuatu dengan tepat lagi benar, dan jauh lebih penting lagi, ia tidak menjadi sesat. Perumpamaan kejernihan berfikir umat yang hebat serta kaya dengan kebaikan itu, adalah seperti sifat kejernihan pada air. Iaitu jernih yang mendamaikan, menenangkan, menyegarkan serta menyukakan. Malahan jernihnya air memudahkan pula mata untuk menembusi hingga ke dasarnya.

3. Begitulah apabila pemikiran menjadi jernih, akan mendorong pula kepada jernihnya jiwa (hati) serta ‘jernihnya’ perbuatan (amal soleh) di dalam masyarakat. Justeru rantaian ‘kejernihan’ itu akan melahirkan kedamaian, ketenangan, kesegaran, kesukaan pada sebuah kehidupan. Mudah untuk mengecapi kesenangan dan ketenangan (kemakmuran dan keamanan) dalam hidup kita.

4. Namun yang jernih itu tak selamanya jernih. Ada sahaja yang akan mengeruhnya. (iaitu para musuh Islam berusaha menimbulkan rasa tidak yakin umat Islam kepada ajaran Islam). Justeru pemikiran kita jangan dibiarkan menjadi keruh, kerana keruhnya pemikiran akan menyukarkan kehidupan kita di dunia dan akhirat. Akhirnya kita sudah tidak upaya lagi untuk melihat kebaikan, kebenaran, keadilan, dan keaslian ajaran Islam.

5. Ironisnya, realitinya yang ada, majoriti umat Islam bukan sekadar telah mengeruhkan pemikiran mereka (apabila rasa kurang yakin dengan ajaran Islam) , malah lebih dahsyat daripada itu, mereka telah ‘menuba’ pemikiran mereka. Mereka menuba dengan kepercayaan tahyul dan khurafat, menuba dengan kepercayaan sesat dan menyesatkan, menuba dengan budaya porno dan mengasyikkan, serta menuba dengan budaya hiburan lagi melalaikan . Akibatnya, Islam dan iman di dada umat menjadi mati. Hilanglah kekuatan dan jati diri.

6. Justeru, amanah Allah ini (pemikiran) wajib dipelihara , supaya ianya tidak dituba atau tertuba.......AMIN

No comments:

Post a Comment