Thursday, April 29, 2010

ISTERIKU BERCERITA LAGI........

SALAM PERJUANGAN.

1. Kelmarin, sebaik pulang dari kerja, jam 3 petang, seperti biasa saya terus berkhidmat diri, sebelum berehat. Lazimnya masa santai dan istirehat begini, saya memilih untuk ditemani oleh bahan-bahan bacaan ringan dan santai sifatnya. Mungkin aura sambutan Hari Buku Sedunia (23 April) dan Perlis’s Books Fair 2010 (24 April) yang lalu, masih terasa ‘fresh’ buat diri. Justeru azamnya selepas ini, biarlah masa dimanfaatkan sebaiknya untuk membaca dan terus membaca.



2. Uniknya petang ini, tak semena-mena isteri pun berminat untuk berkongsi cerita. Jarang sekali mahu dikongsi cerita petang-petang sebegini. Biasanya isteri akan sibuk melayan kerenah anak-anaknya yang seramai 6 orang tu. Tapi katanya ada cerita menarik dan sangat relevan untuk dikongsikan. Cerita yang ada kaitan dengan saya dan para suami yang lain. Tentu ‘signal’ awal isteri ini , membuatkan saya teruja untuk menyusuri dengan penuh minat akan ceritanya….

3. Kisahnya kali ini tentang kura-kura dan tupai. Kedua-duanya hidup bersahabat di dalam hutan. Persahabatan kedua-duanya terjalin apabila si tupai sering membantu mengugurkan buah-buahan dari pokok-pokok berhampiran sungai untuk dimakan oleh si kura-kura. Sejak itulah kura-kura dan tupai merasai nikmatnya persahabataan (ukhuwwah) yang terjalin. Hampir selalu mereka bersama dan di mana sahaja. Ketika makan, bermain, berbual, berbincang, bergurau senda atau apa saja aktiviti, mereka tak pernah lekang, ibarat isi dengan kuku.

4. Malangnya persahabatan itu dicemburui oleh isteri kura-kura. Dicemburui kerana banyak masa yang sanggup dihabiskan oleh kura-kura buat sahabat barunya si tupai, berbanding anak dan isterinya. Hinggakan kini, anak-anak dan isteri kura-kura merasai diri mereka makin dilupai, dipinggirkan, dan kurang disayangi. Sudah mula menghakis sikap memahami dan bertoleransi si isteri kura-kura kepada suaminya. Bertambah tragis kerana kura-kura kini dianggap telah melupai tanggungjawabnya yang utama, iaitu tanggungjawab menyantuni anak-anak dan isterinya.

5. Maka bermulalah ‘seni dan pencak politik’ dalam rumahtangga kura-kura. Isterinya mula mengatur strategi. Misinya hanya satu iaitu untuk menawan perhatian suaminya semula.

6. Drama awalnya, si isteri kura-kura berpura-pura jatuh sakit. Keadaan ini sangat membimbangkan kura-kura. Dalam masa ‘sakit’nya itu, si isteri menyatakan pelbagai permintaannya kepada kura-kura. Dari yang biasa hinggalah yang pelik-pelik. Ternyata kura-kura mulai tertekan dengan permintaan isterinya itu. Malah yang menyukarkan kura-kura adalah permintaan isterinya untuk memakan hati tupai. Mengidam ujarnya..


7. Kura-kura menjadi tenggelam punca dengan permintaan isterinya yang tersayang. Sukar sekali mahu mendapatkan hati tupai melainkan dikorbankan sahabatnya selama ini. Dirinya benar-benar dalam dilemma sekarang. Antara 2 hajat. Iisterinyakah atau sahabatnya?. Akhirnya kura-kura nekad untuk memperdaya dan mengorbankan sahabatnya, situpai. Itulah pilihannya yang muktamad.

8. Maka hari yang ditunggu pun tiba, si kura-kura pun menghampiri si tupai dan segera menawarkannya untuk membawa si tupai melancong dan bersiar-siar di sepanjang sungai. Jelas si kura-kura inilah masanya untuk membalas kebaikan si tupai selama ini. Tanpa berfikir panjang dan sebarang prejudis, si tupai pun bersetuju untuk mengikuti kura-kura bersiar-siar di sepanjang sungai. Ketika bersiar-siar itulah, si kura-kura pun menceritakan hal yang sebenarnya kepada si tupai,. Akan masalah isterinya yang mengidamkan hati tupai.

9. Si Tupai lekas membaca maksud yang tersirat. Lantas cepat-cepat si tupai melakonkan kesedihan, tanda bersimpati dengan nasib isteri si kura-kura. Jelas si tupai lagi kepada kura-kura, bahawa dia merasa amat sedih pada hari ini kerana terlupa untuk membawa hatinya bersama-sama. Kalau tidak, bolehlah disedeqahkan kepada isteri kura-kura. Justeru dia memohon kerjasama kura-kura untk menghantarnya pulang ke tebing bagi mengambil hati yang tertinggal itu. Lakonnya menjadi. Kura-kura mempercayai kata-kata si tupai dan bersetuju dengan permintaan itu. Akhirnya selamatlah si tupai kerana kebijakkannya membaca minda si kura-kura. Maka sejak daripada itu, hilanglah kepercayaan dari sebuah persahabatan antara tupai dan kura-kura….TAMAT.

10. Isteri kemudiannya mula membuat beberapa ibrah buat suaminya. Katanya “Antara pengajarannya abang….”

i. Dalam kesibukkan kita bekerja dan berjuang, janganlah diabaikan tanggungjawab kepada anak-anak dan isteri.
ii. Jiwa isteri (perempuan) sangat sensitif dan perlukan kepada perhatian suaminya.
iii. Wujudkan suasana kegembiraan dan keceriaan dalam rumahtangga sebagaimana kita merasa senang, gembira, dan ceria di samping teman-teman.
iv. Berhati-hati dengan seni mempengaruhi wanita, kerana seninya boleh menggangkat dan menjatuhkan seseorang.

“Ya Allah, berilah bimbingan dan kekuatan kepadaku untuk menunaikan amanahMu…!!

2 comments:

  1. السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

    أنا من مكة بلد قبلة المسلمين لا أعلم إن كنت تعلم اللغة العربية لأني لا أعرف غيرها .. ولكن أردت المرور بكم وإلقاء التحية

    بارك الله فيك ووفقك

    ReplyDelete
  2. salam...
    tupai oh tupai.... kura oh kura...
    sepandai pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga.. tapi kena ingat jygak la kan... kalau tupai jatuh ke tanah sempat ke kalau kita nak kejar tupai tu... hehehehe

    ReplyDelete